Terengganu rayu struktur semula bayaran hutang 

Ahmad Samsuri (tengah) menerima cenderahati yang disampaikan ahli jawatankuasa (AJK) Kawat selepas pertemuan bersama di Pejabat Menteri Besar Terengganu, di sini, hari ini.
Ahmad Samsuri (tengah) menerima cenderahati yang disampaikan ahli jawatankuasa (AJK) Kawat selepas pertemuan bersama di Pejabat Menteri Besar Terengganu, di sini, hari ini.
A
A
A

KUALA TERENGGANU –Kerajaan negeri memohon Kerajaan Pusat membuat penstrukturan semula terhadap kadar bayaran hutang yang dikenakan menerusi kaedah pemotongan wang tunai petroleum (WTP) Terengganu.

Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, walaupun tidak dibayar sekaligus, kadar yang dikenakan melibatkan pemotongan wang itu akan mempengaruhi belanjawan 2019 negeri ini.

“Kalau surat pemotongan hutang diberikan untuk tahun akan datang, kita mungkin sempat lagi buat penyelarasan bajet.

“Tetapi, kita rasa tidak adil untuk diberi surat itu dalam keadaan kita dah bentangkan bajet dan kini dalam pelaksanaan Bajet 2019,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas mengadakan pertemuan bersama Kelab Wartawan Media Terengganu (Kawat) di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Samsuri berkata, beliau telah bertemu Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bagi mengemukakan surat rayuan memohon penstrukturan semula pembayaran hutang itu.

“Perdana menteri telah menerima surat rayuan itu dan kita kini sedang menunggu maklum balas mengenai berapa banyak potongan yang akan dibuat.

“Kita harap ia dapat dipertimbangkan kerana kita di Terengganu begitu komited dan telus dalam perbelanjaan. Sekiranya berkait rapat mengenai kebimbangan perbelanjaan, kami terbuka untuk diaudit dalam apa jua cara,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Ahmad Samsuri berkata, keputusan WTP akan dibayar secara terus kepada Terengganu adalah satu perkembangan positif.

Artikel Berkaitan:

“Selepas kunjungan Perdana Menteri ke Terengganu, kita ada terima maklum balas daripada Kementerian Kewangan bahawa WTP yang kini istilahnya tidak lagi diguna sebagai wang royalti atau dana khas kerajaan persekutuan (DKKP) akan dibayar secara terus kepada kerajaan negeri.

“Jadi, kita berterima kasih kepada Kerajaan Pusat kerana telah mengiktiraf bahawa Terengganu berhak untuk menerima wang tunai petroleum ini sebagaimana perjanjian 1974,” katanya.

Ditanya mengenai jumlah bayaran WTP bagi 2019, katanya, ia dijangka melibatkan angka sebanyak RM1.5 bilion hingga RM1.6 bilion.

“Jumlah keseluruhan WTP bergantung kepada jumlah pengiraan dan jumlah yang dihantar oleh Petronas kepada perbendaharaan sebagai wang royalti sebanyak lima peratus.

“Jadi, berdasarkan harga minyak pada tahun lalu, kita jangka akan mendapat sekurang-kurangnya RM1.5 hingga RM1.6 bilion setahun dan bayaran pertama dijangka akan diterima pada Mac depan,” katanya.