X

Kindly register in order to view this article
!

Tiga kumpulan sindiket seludup migran tumpas

Datuk Huzir Mohamed
A
A

KUALA LUMPUR - Tiga kumpulan sindiket penyeludupan migran tumpas dalam operasi berasingan dilakukan di Pulau Pinang, Johor dan Perak pada 4 Jun hingga 20 Jun lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, Geng Husen Maungdaw didalangi etnik Rohingya yang melakukan kegiatan jenayah terancang penyeludupan migran dan samun tumpas dalam serbuan dilakukan di Pulau Pinang.

Menurutnya, operasi dilakukan JSJ Bukit Aman dan Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) negeri turut menumpaskan dua lagi kumpulan sindiket iaitu 'Geng Otong di Johor serta 'Geng Halim' di Perak.

"Seramai 111 individu berusia lingkungan 28 tahun sehingga 68 tahun termasuk tiga ketua sindiket terbabit ditahan.

"57 individu ditahan melibatkan ahli Geng Otong, Geng Halim (35) dan Geng Husen Maungdaw (19)," katanya pada sidang akhbar di Bukit Aman hari ini.

Beliau berkata, Geng Husen Maungdaw diketuai oleh seorang lelaki Rohingya yang bukan sahaja terlibat dalam penyeludupan migran di utara semenanjung, malah terlibat dengan jenayah samun di Pulau Pinang.

"Majoriti ahli Geng Husen Maungdaw ini terdiri daripada kalangan etnik Rohingya dan telah aktif aktiviti berkenaan sejak tahun 2014.

"Siasatan polis juga mendapati Geng Husen Maungdaw ini mempunyai kaitan dengan pendaratan etnik Rohingya di Langkawi, Kedah sebelum ini," katanya.

Menurutnya, siasatan mendapati Geng Otong yang aktif penyeludupan migran di kawasan perairan timur Johor sejak tahun 2014 diketuai suspek lelaki warga Indonesia dengan nama panggilan 'Otong'.

"Geng Halim pula dipercayai telah aktif sejak tahun 2017 di perairan Hutan Melintang, Perak yang diketuai seorang lelaki tempatan.

"Polis masih memburu saki-baki ahli kumpulan berkenaan seramai lapan orang," katanya.

Katanya, dalam serbuan berkenaan, polis merampas pelbagai barang antaranya 62 unit telefon bimbit, dua buah bot, tujuh buah kereta serta dua motosikal yang kesemuanya dianggarkan bernilai RM1.5 juta.

Tambah Huzir, selain itu, semakan pihaknya mendapati ketua serta ahli sindiket pernah beberapa kali diberkas atas kesalahan jenayah penyeludupan migran serta samun.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 130V Kanun Keseksaan dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) Sosma 2012 selain Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus