'Senarai calon PRU-15 PN tular palsu, tidak berasas'

Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki
Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki
A
A
A

SHAH ALAM - Senarai calon Pilihan Raya Umum PRU-15 melibatkan Perikatan Nasional (PN) yang tular di media sosial termasuk aplikasi WhatsApp adalah palsu dan tidak berasas sama sekali.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, senarai tersebut hanyalah satu tindakan perang psikologi pihak-pihak tertentu yang mempunyai niat tidak baik bagi mencetuskan kesangsian di kalangan parti-parti dalam kerajaan dan pendukung-pendukung parti akar umbi.

"Mana mungkin senarai calon sudah disiapkan sedangkan perundingan mengenai pembahagian kerusi di kalangan parti-parti juga belum bermula," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.

Semalam tular senarai calon tersebut yang terdiri daripada UMNO, PAS, Bersatu, MCA dan MIC menjelang PRU-15 yang sedang hangat diperkatakan pada ketika ini.

Dalam senarai tersebut parti Bersatu diberikan sebanyak 50 kerusi parlimen untuk bertanding, manakala Pas disenaraikan bertanding 30 kerusi.

Terdapat tokoh-tokoh besar dalam politik negara turut digugurkan seperti bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan digantikan dengan anaknya, Datuk Mohd Nizar di Parlimen Pekan, sementara Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi digantikan oleh anak perempuannya, Datuk Nurul Hidayah di Parlimen Bagan Datuk.

Dalam pada itu, Asyraf Wajdi berkata, fokus UMNO khususnya ketika ini hanyalah hendak memastikan kerajaan sedia ada mampu dipertahankan bagi membolehkan segala usaha menjana semula ekonomi negara dan memperkasa kebajikan rakyat pasca PKP dan Covid-19 dapat dilakukan dengan berkesan.

Artikel Berkaitan: