X

Kindly register in order to view this article
!

Warga emas alami serangan panik kerana Covid-19

Mintom mengalami serangan panik selepas anaknya memberitahu ada rakan sepejabatnya disahkan positif Covid-19.
A
A

SEREMBAN - Berikutan serangan panik akibat kerisauan melampau terhadap jangkitan koronavirus (Covid-19), seorang wanita warga emas 'mewasiatkan' suaminya dengan menyediakan wang lebih awal untuk menguruskan jenazahnya sekiranya meninggal dunia.

Perkara tersebut dikongsi Mintom Md Shah, 62, berkenaan dirinya yang baru pulih selepas lebih sebulan mengalami serangan panik melampau.

Ibu kepada tiga anak itu berkata, semuanya bermula selepas anaknya memberitahu ada rakan sepejabatnya disahkan positif jangkitan tersebut dan keadaan bertambah teruk selepas dua minggu pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), badannya menjadi lemah, demam dan mengalami sakit tekak.

“Waktu itu saya hanya fikir mati dan dah pesan pada suami kalau saya sakit, bawa saya ke hospital. Kalau saya mati, biar hospital uruskan jenazah saya,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau memberitahu, anaknya yang memaklumkan mengenai perkembangan rakannya itu juga telah menjalani saringan Covid-19 dan bersyukur kerana keputusannya negatif.

Bagaimanapun, keadaan itu tidak membantunya pulih sebaliknya beliau terus mengalami gangguan panik seperti dilanda kebimbangan untuk menonton televisyen atau membuka Facebook kerana takut mendengar atau membaca berita mengenai Covid-19, selain hilang semangat dan sukar melelapkan mata.

Mengulas lanjut katanya, selepas seminggu demamnya tidak kebah, Mintom membuat pemeriksaan di Klinik Kesihatan Senawang, namun diberitahu tidak demam sebelum ke klinik swasta dan kemudiannya membuat pemeriksaan di Hospital Tuanku Jaafar kira-kira dua minggu selepas itu berikutan keadaan kesihatannya tidak berubah.

"Keputusannya tetap sama, doktor cuma cakap saya demam biasa tapi minta saya buat saringan Covid-19.

"Alhamdulillah, selepas lima hari makan ubat hospital, demam saya makin baik cuma lemah-lemah badan, sakit dada dan risau yang melampau tetap tak hilang kerana saya risau menantikan keputusan ujian saringan. ALLAH betul-betul nak uji saya," katanya.

Sepanjang tempoh berkenaan katanya, beliau banyak mengisi waktunya dengan membaca al-Quran dan berzikir untuk memulihkan semangat.

Bagaimanapun, Mintom memberitahu, beliau terpaksa dikejarkan ke hospital dan ditahan di wad selama empat hari selepas pengsan di rumah pada hari raya keempat baru-baru ini.

“Selepas keluar dari hospital itulah saya baru rasa sedikit lega. Lagipun doktor cakap saya tidak ada apa-apa.

“Dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) inilah saya betul-betul rasa sudah pulih sepenuhnya dan berani untuk keluar rumah, ditambah pula apabila kes Covid-19 di negara kita sudah reda,” katanya.

Sementara itu, Mintom berkata, walaupun negara kini berada dalam fasa pemulihan, beliau berharap masyarakat tidak sesekali alpa dan perlu bersungguh-sungguh mengekalkan pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan apatah lagi tiada vaksin ditemui bagi melawan Covid-19 setakat ini.

“Saya sendiri pun baru saja lepasi fasa yang saya sendiri tak pernah sangka akan alami dalam hidup. Jadi, jangan ambil mudah,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus