Luqman mahu dalami ilmu bola sepak di Belgium

 Luqman memiliki potensi besar untuk menyinar di pentas Eropah.
Luqman memiliki potensi besar untuk menyinar di pentas Eropah.
A
A
A

PEMAIN muda negara, Luqman Hakim Shamsudin mengakui menerima tawaran kontrak daripada kelab Belgium, KV Kortrijk demi menimba ilmu bola sepak.

“Memang saya bersetuju untuk menerima tawaran KV Kortrijk kerana mahu menambah ilmu khususnya ilmu dalam bola sepak.

“Saya ambil keputusan untuk mencari ilmu baharu di Belgium kerana bagi saya setiap negara ada peringkat ilmunya yang tersendiri.

“Sudah pasti, saya mahu mencari peringkat ilmu yang lebih bagus untuk diri saya sendiri,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Semalam Sinar Harian melaporkan bahawa pemilik KV Kortrijk, Vincent Tan berkata, pemain berusia 18 tahun itu sudah menjadi milik kelab berkenaan dan ditawarkan kontrak selama lima tahun.

Tambah Luqman, dia membuat keputusan menerima tawaran itu setelah berfikir panjang selama hampir sebulan sebelum dimuktamadkan.

Bagaimanapun menurut Luqman, dia masih belum mengadakan perbincangan dengan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) berhubung perkara berkenaan.

“Saya akan adakan perbincangan dengan FAS dalam masa terdekat dan apa yang boleh saya katakan saya juga belum menetapkan tarikh untuk berlepas ke Belgium,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Luqman berkata, dia juga bersedia untuk mewakili negara bagi Kejuaraan B-19 Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) 2020 di Uzbekistan, Oktober depan.

“Saya memang sentiasa bersedia jika dipanggil mewakili skuad kebangsaan.

“Cuma buat masa ini, fokus saya adalah untuk meneruskan latihan bersama skuad Selangor 2,” katanya.