'Selang sejam ibu dikebumikan, abang pula pergi'

Allahyarhamah Ishah bersama Allahyarham Suhaimi.
Allahyarhamah Ishah bersama Allahyarham Suhaimi.
A
A
A

PADANG BESAR - "Kesedihan yang tidak dapat diungkapkan," demikian luahan seorang lelaki setelah dua insan tersayangnya meninggal dunia dalam tempoh sehari.

Mohd Shari Saidin, 33, hanya mampu meratapi pemergian ibunya, Ishah Kasa, 65, yang meninggal dunia pada 26 Jun lalu dan abang sulungnya, Shuhaimi Saidin, 43 tahun menghembuskan nafas terakhir selepas satu jam urusan pengebumian ibu mereka di Tanah perkuburan Felcra Lubuk Sireh di sini selesai, 27 Jun lalu.

Juruteknik komputer di Sekolah Menengah Raja Puan Muda Tengku Fauziah itu berkata, Shuhaimi antara orang kuat yang menguruskan jenazah semasa pengebumian ibu mereka.

Mohd Shari bersama arwah ibunya.
Mohd Shari bersama arwah ibunya.

"Masa ibu meninggal, arwah selalu beri saya kata-kata semangat, arwah minta saya kuat dan tak sangka benar kata-kata arwah, saya perlu kuat untuk melunaskan tanggungjawab yang besar demi keluarga ini setelah dia meninggal dunia.

"Abang orang yang paling tenang semasa tahu ibu sudah tiada (meninggal dunia). Seperti tidak percaya dan apa yang berlaku bagaikan mimpi. Kisah ini ibarat drama televisyen yang telah disusun atur," katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, arwah abangnya hanya mengadu pedih di bahagian dada dan memberitahu matanya kelabu sebelum rebah kira-kira sejam selepas selesai pengebumian ibu mereka.

"Waktu itu jam 11.30 pagi, kami rehat seketika selepas selesai urusan pengebumian ibu. Tiba-tiba abang mengadu sakit dada dan rebah.

Artikel Berkaitan:

"Seluruh anggota badannya sudah sejuk dan kami bergegas bawa ke hospital Kangar. Namun selepas menerima rawatan, jam 1 petang abang disahkan meninggal dunia," katanya.

Allahyarham Suhaimi bersama isteri dan anak-anaknya.
Allahyarham Suhaimi bersama isteri dan anak-anaknya.

Katanya, Allahyarham Suhaimi ialah seorang yang peramah dan sentiasa menghormati ibu bapa.

"Kehilangan ini membuatkan diri saya kosong seketika. Kini tinggal saya seorang sahaja lelaki dalam enam beradik," katanya.

Mohd Shari berkata, urusan pengebumian diteruskan pada hari yang sama dan jenazah selamat dikebumikan kira-kira jam 6.30 petang.

Allahyarham Shuhaimi meninggalkan seorang balu dan lima anak.