Polis buru Geng Ejen Penapis Air

Omar Bakhtiar (tengah) menunjukkan fotofit salah seorang suspek Geng Ejen Penapis Air yang disyaki menyamar sebagai ejen syarikat penapis air dan menyamun sebuah rumah warga emas di Kampung Parit Mat Ali, Kuala Kurau.
Omar Bakhtiar (tengah) menunjukkan fotofit salah seorang suspek Geng Ejen Penapis Air yang disyaki menyamar sebagai ejen syarikat penapis air dan menyamun sebuah rumah warga emas di Kampung Parit Mat Ali, Kuala Kurau.
A
A
A
BAGAN SERAI - Tiga suspek Geng Ejen Penapis Air diburu polis susulan tindakan mereka memperdaya dan menyamun seorang warga emas dalam kejadian di Kampung Parit Mat Ali, Kuala Kurau dekat sini, 15 Januari lalu.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob berkata, pada jam 4 petang, mangsa yang sedang berada di rumah didatangi tiga lelaki dengan menaiki kereta jenis Proton Iswara warna hitam bernombor pendaftaran tidak pasti.

Menurutnya, salah seorang daripada suspek bertanyakan mangsa sama ada menggunakan alat penapis air kerana mereka mendakwa diri mereka ejen mewakili syarikat menjual penapis air berjenama.

"Salah seorang suspek meminta mangsa untuk melihat alat penapis air milik mangsa di dapur lalu mangsa membenarkannya.

"Suspek pertama itu kemudiannya memanggil dua rakannya yang berada di dalam kereta masuk ke dalam rumah untuk memeriksa alat penapis air tersebut dalam rumah mangsa.

"Ketika itu, suspek pertama berbual dengan mangsa di luar rumah manakala dua rakannya keluar serta menyatakan alat penapis air mangsa berada dalam keadaan baik sebelum meminta izin untuk beredar," katanya dalam satu sidang media di bilik mesyuarat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian di sini hari ini.

Omar Bakhtiar berkata, selepas kesemua suspek beredar, mangsa mendapati beg tangan dilihat terbuka di dalam biliknya, dan dompet mengandungi wang tunai RM6,000, buku akaun Tabung Haji dan buku akaun Bank Simpanan Nasional miliknya hilang.

Menurutnya, mangsa berusia 67 tahun tidak mengenali suspek dan tidak cam kerana tidak pernah berjumpa sebelum ini di samping kurang ingat kerana faktor usia.

"Berdasarkan maklumat orang kampung, kesemua suspek berusia lingkungan lewat 20 hingga 30-an dan mereka turut pergi ke lagi satu rumah penduduk di kampung itu bagi bertanyakan motif yang sama.
Artikel Berkaitan:


"Satu fotofit salah seorang suspek berjaya dilakar polis hasil maklumat jiran mangsa dan polis meminta mana-mana pihak yang mengecam identiti individu dalam fotofit terbabit supaya menyalurkan maklumat terus kepada balai polis berhampiran bagi membantu siasatan polis," katanya.

Omar Bakhtiar berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan iaitu mencuri di dalam bangunan.

"Orang ramai terutama golongan warga emas yang tinggak bersendirian dinasihatkan agar lebih berhati-hati dalam berurusan dengan mana-mana individu tidak dikenali dan laporkan kepada polis jika mengesyaki individu terbabit mencurigakan," katanya.