SPR tak lanjutkan tempoh masa pengundian

Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun hadir melawat pengundi-pengundi membuang undi ketika di Balai Polis Brinchang hari ini. - Foto Sinar Harian oleh SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun hadir melawat pengundi-pengundi membuang undi ketika di Balai Polis Brinchang hari ini. - Foto Sinar Harian oleh SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A
A

TANAH RATA - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak akan melanjutkan tempoh masa pengundian di sesetengah kawasan Pusat Daerah Mengundi (PDM) terutama di Pos Orang Asli atas faktor keselamatan dan cabaran logistik.

Ketika ditemui pemberita di Balai Polis Brinchang, di sini, hari ini, Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun berkata, pihaknya menitikberatkan faktor keselamatan kerana terpaksa menggunakan helikopter untuk membawa kertas undi masuk dan keluar di sesetengah kawasan yang jauh serta sukar dilalui.

Terdahulu, Azhar meninjau proses pengundian awal di bilik maklumat balai itu yang menyaksikan seramai 232 anggota polis layak mengundi awal bagi PRK Cameron Highlands.

[ARTIKEL BERKAITAN: Mana ada SPR 'rabun', 'buat-buat tak nampak']

Menjelas lanjut, Azhar berkata, penutupan awal sesetengah pusat mengundi terutama yang jauh di pedalaman dan sukar dilalui telah lama dipraktikkan termasuk pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), tahun lalu.

Menurut Azhar, walaupun pihaknya menutup awal sesetengah pusat mengundi, namun jumlah keluar mengundi adalah tinggi sehingga mencecah 80 peratus.

"Jadi saya tidak akan tutup lebih lambat kerana masalah keselamatan tapi saya rasa ia tidak akan menjejaskan pengundi daripada keluar mengundi di tempat-tempat itu," katanya.

Azhar mengulas gesaan Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Annuar Musa yang meminta SPR mengkaji semula tempoh masa mengundi di sesetengah PDM pada PRK Cameron Highlands 26 Januari nanti memandangkan muka bumi Parlimen itu yang luas dan mencabar.

Artikel Berkaitan:

Annuar mendakwa daripada keseluruhan 29 PDM di Cameron Highlands, hanya empat sahaja yang dibuka sehingga 5.30 petang iaitu di Lembah Bertam, Ringlet, Tanah Rata dan Brinchang, manakala selebihnya ditutup antara 1 tengah hari dan 3 petang.

Sementara itu, mengulas dakwaan sesetengah individu bahawa SPR ‘menutup sebelah mata’ terhadap kesalahan pilihan raya yang dilakukan dalam PRK itu, Azhar berkata SPR telah mengambil segala tindakan yang perlu berdasarkan kuasa yang diperuntukkan kepada suruhanjaya itu.

“Saya telah mengambil segala tindakan, daripada memberi maklumat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan polis, mengeluarkan nasihat dan amaran, sehinggalah kepada meminta semua pihak yang berkenaan supaya menandatangani ikrar.

“Jika mana-mana individu mahu saya lakukan lebih lagi, misalnya menyiasat atau menahan, mereka perlu membangkitkannya di Parlimen dan meminta Anggota Parlimen supaya meluluskan undang-undang baharu sebab undang-undang sedia ada tidak membolehkan kami berbuat demikian,” katanya. - Bernama