X

Kindly register in order to view this article
!

‘Anda tidak keseorangan, ayuh bola sepak Malaysia’

Amirudin (kiri) antara figura penting yang merupakan penyokong setia Liverpool.
A
A

‘THIS year will be our year’. Inilah slogan keramat penyokong fanatik Liverpool digunakan saban tahun sejak Liga Perdana Inggeris (EPL) dijenamakan pada awal 1992.

Akhirnya, penantian hampir tiga dekad itu telah terhapus untuk menyaksikan The Reds dinobatkan julung kali sebagai juara EPL selepas Chelsea menewaskan penyandang juara, Manchester City 2-1 baru-baru ini.

Masakan tidak, penantian kali ini sedikit ‘lain macam’ selepas EPL ditangguhkan seketika dek Covid-19 tetapi selepas bergelar juara berbaki tujuh perlawanan liga, sejarah baharu lagi tercipta.

Penulis sendiri merupakan peminat tegar Liverpool percaya seluruh dunia sedang meraikan kejayaan cukup bermakna dan inilah momen kemenangan cukup indah buat penyokong tegar The Reds.

Apa yang pasti, tiada lagi istilah ‘kelab sejarah’ yang selalu diejek-ejek oleh penyokong musuh tradisi Liverpool, Manchester United dan tak salah rasanya untuk kami mendabik dada dengan gah tahun ini.

Sejak berusia tujuh tahun lagi, penulis telah menetapkan Liverpool kelab luar negara yang pertama dan terakhir, tiada kelab lain mampu menggantikan tempat di hati penulis.

Bercerita tentang minat, penulis bukan saja tegar mengumpul barang-barang berkaitan Liverpool, penulis beberapa kali pernah menjejakkan kaki di gelanggang keramat, Anfield bagi menyaksikan pasukan kesayangan beraksi lebih dekat.

Sebenarnya ramai figura-figura penting bola sepak Malaysia yang menjadi penyokong tegar Liverpool.

Antaranya Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin serta personaliti sukan, Akbar Sahari. Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri juga merupakan peminat setia Liverpool.

Di sebalik meraikan kejayaan sulung menjuarai EPL, penulis juga mahu pasukan-pasukan bola sepak tempatan mencontohi pendekatan yang dilakukan Liverpool dalam usaha menjadi juara kelab dunia dan England.

Memetik kata-kata pengendali The Reds, Jurgen Klopp, beliau menegaskan infrastuktur padang latihan yang terbaik adalah kunci segala-galanya untuk membentuk pasukan menjadi lebih sempurna.

Bukan saja memiliki fasiliti latihan yang bagus tetapi pendekatan Klopp sebagai pengurus juga harus diberi pujian. Ini kerana Klopp sentiasa mengadakan pertemuan dengan barisan jurulatih sebelum memulakan latihan dan menggunakan idea kepada pemain tentang teknik, taktikal dan sebagainya di mana setiap aspek akan perhalusi dan dianalisis.

Jadi kesimpulannya pasukan Liga Malaysia (Liga-M) patut menyedari bahawa penyediaan pusat latihan terbaik mampu menyediakan pelan, perancangan dan melahirkan idea pencaturan baharu buat jurulatih.

Malah, ia juga akan menjadi anda seorang juara jika kesemua pihak tidak kira pengurusan, pegawai, jurulatih atau pemain memainkan peranan dalam sesi latihan.

Dalam masa sama, penulis mahu mengambil kesempatan ini kepada seluruh penyokong agar kembali memberikan tumpuan kepada Liga-M kita yang dijangka kembali bersambung pada awal Ogos depan.

Menang EPL sudahkan? Jadi tak salah kita boleh rancakkan Liga-M sama seperti keghairahan kita menyokong Liverpool selama ini dengan memberikan fokus kepada bola sepak tempatan yang telah sepi sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula Mac lalu.

Penulis sebelum ini telah melaporkan kepada Sinar Harian di mana Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi isyarat kepada Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) boleh mengemukakan permohonan sesi latihan Fasa 2 dan membenarkan penonton ke stadium tetapi terhad.

Satu lagi kemenangan untuk kita semua yang telah lama menantikan Liga-M kembali membuka tirai. Penulis percaya harapan besar untuk Liga-M kembali mewarnai arena sukan tempatan apabila pihak kerajaan telah membuka banyak sektor selepas mengambil kira kadar statistik Covid-19 menunjukkan penurunan.

Justeru, penulis turut percaya kerajaan akan mempertimbangkan penyokong hadir ke stadium secara terhad di mana ini akan memberikan suntikan moral kepada pasukan dengan sekurang-kurangnya mampu menjana sedikit pendapatan mereka.

Akhir kata, nasihat penulis kepada bola sepak Malaysia, ‘You’ll Never Walk Alone’.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus