X

Kindly register in order to view this article
!

Tun M mahu Shafie Apdal jadi PM

Gambar dari video pendedahan Dr Mahathir mengenai pencalonan Shafie Apdal sebagai PM.
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Tun Dr Mahathir Mohamad mendedahkan bahawa beliau dan penyokongnya bersetuju untuk memilih Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menggantikannya sebagai perdana menteri dalam gabungan Pakatan Harapan (PH) Plus.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, cadangan itu juga disokong Parti Amanah Negara (Amanah) dan pemimpin DAP semasa satu mesyuarat dengan pemimpin-pemimpin Warisan.

"Saya harap kita semua (akar umbi) faham walau saya tak jadi calon perdana menteri tapi (calon baharu) ini adalah orang yang sebulu dengan saya dan kita semua kerana beliau melawan kleptokrat.

"Sebab itu kita perlu sokong Shafie dan bagi saya, (sokongan) itu sama seperti sokong saya. Saya akan sokong Shafie. Jadi walaupun ada pertukaran sedikit saya harap akar umbi akan terus memberi sokongan kepada calon kita, Shafie Apdal," katanya menerusi satu rakaman video.

Mohd Shafie Apdal - Foto fail Bernama
Mohd Shafie Apdal - Foto fail Bernama

Rakaman video yang diambil semasa satu mesyuarat dengan akar umbi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Terengganu di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini semalam juga tular di media sosial.

Bagaimanapun, dedah Dr Mahathir lagi, sebenarnya Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim bertegas agar dirinya dinamakan sebagai perdana menteri jika gabungan PH Plus merampas kembali kuasa daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Menurut beliau, walaupun pemimpin lain dalam PH Plus cuba untuk memujuknya (untuk kembali dilantik debagai perdana menteri), Anwar berkeras tidak bersetuju agar beliau menjadi pemangku perdana menteri, sekalipun hanya untuk satu hari.

"Kami telah meminta Anwar untuk bersetuju supaya saya jadi perdana menteri selama enam bulan dan beliau boleh ambil alih selepas itu. Tetapi beliau masih tidak mahu saya menjadi PM, walaupun untuk satu hari. Beliau tolak saya jadi perdana menteri sepenuhnya.

"Selepas setiap kali mesyuarat, perkara sama berlaku. Beliau akan kata perlukan masa untuk fikir. Seminggu kemudiannya, ia akan berulang lagi dan beliau memang tidak akan bersetuju. Seolah-olah hanya beliau seorang sahaja yang boleh jadi perdana menteri," katanya.

Namun begitu, Dr Mahathir menegaskan bahawa beliau tetap akan dinamakan sebagai calon perdana menteri PH Plus untuk membantu gabungan berkenaan mencapai majoriti sokongan dalam Dewan Rakyat.

Ketika mesyuarat Bersatu baru-baru ini, Dr Mahathir berkata beliau diberitahu bahawa PH tidak bersetuju Anwar segera dilantik sebagai perdana menteri kerana ramai beranggapan Anwar mempunyai ramai musuh sekaligus akan membuatkan gabungan itu sukar mendapatkan sokongan majoriti untuk kembali berkuasa.

"Kami tidak boleh memberikan (pencalonan) kepadanya. Beliau mempunyai ramai musuh. Malah, akan ada orang tertentu yang akan meninggalkan kami. Jadi, jika di sana (sidang Dewan Rakyat) tidak cukup nombor (jumlah kerusi), kami tidak boleh kembali membentuk kerajaan," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari.Langgan Sekarang!

Polisi Data Peribadi Karangkraf