Ibadah korban di kawasan luas perlu kebenaran pejabat agama

AJK surau di kampung boleh mohon kelulusan pejabat agama daerah untuk mengadakan ibadah korban di kawasan lebih luas jika kawasan surau sedia ada terlalu sempit. - Foto 123RF
AJK surau di kampung boleh mohon kelulusan pejabat agama daerah untuk mengadakan ibadah korban di kawasan lebih luas jika kawasan surau sedia ada terlalu sempit. - Foto 123RF
A
A
A

PUTRAJAYA - Ahli Jawatankuasa Kariah (AJK) surau di kampung boleh memohon kelulusan daripada pejabat agama daerah bagi mengadakan aktiviti ibadah korban sempena Aidiladha di kawasan lebih luas sekiranya surau sedia ada terlalu sempit.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan boleh mempertimbangkan kelulusan untuk tujuan itu bagi membolehkan amalan jarak sosial sekali gus prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi.

“Saya percaya banyak surau di kampung sempit, maka kita (kerajaan) buat keputusan benarkan buat ibadah korban di kawasan lebih luas dengan syarat mohon kelulusan daripada pejabat agama daerah,” katanya pada sidang akhbar mengenai perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di sini hari ini.

Pada Rabu lalu kerajaan mengumumkan kebenaran aktiviti ibadah korban diadakan di semua masjid, surau serta kawasan yang dibenarkan pihak berkuasa agama.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, kerajaan juga bersetuju solat Jumaat dilakukan di perkarangan masjid dengan syarat SOP dipatuhi termasuk pengamalan jarak sosial selain daripada satu pertiga kapasiti jemaah dalam masjid yang dibenarkan.

Ketika ditanya mengenai solat Jumaat dua sesi seperti yang dilaksanakan di Singapura, katanya, setakat ini belum ada pengumuman daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri. - Bernama

Artikel Berkaitan: