X

Kindly register in order to view this article
!

Calon Bebas tiada harapan menang

Mohd Shahrim (kanan) bersama Pengerusi BN Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mengadakan program ziarah sempena kempen PRK DUN Chini.
A
A

DUA calon Bebas yang bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini pasti tersepit di celah kekuatan dua parti politik, Barisan Nasional (BN) dan Pas, yang bekerjasama atas nama Muafakat Nasional.

Kerjasama kedua-dua parti itu dalam mengatur jentera berkempen calon BN sudah cukup membuktikan kerusi DUN Chini pastinya dilihat lebih memihak kepada Mohd Sharim Md Zain yang juga Ketua Pemuda UMNO Cawangan Felda Chini 3 Berkat.

Kerusi Chini sememangnya kubu kuat BN apabila pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dua tahun lalu, Allahyarham Abu Bakar Harun daripada UMNO yang mewakili BN dengan mudah mengetepikan cabaran Pas dan Pakatan Harapan (PH) dengan majoriti 4,622 undi.DUN Chini merupakan salah satu DUN dalam Parlimen Pekan dikuasai BN yang disandang bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak selama 11 penggal berturut-turut sehingga kini.

Malah, Chini ialah salah satu daripada empat DUN dalam Parlimen Pekan selain DUN Pulau Manis, DUN Peramu Jaya dan DUN Bebar yang semuanya dikuasai BN menerusi calon daripada UMNO.

Bagaimanapun, kehadiran dua calon Bebas, Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin dan Mohd Shukri Md Zain tidak boleh dipandang mudah kerana mereka juga dilihat mampu meraih undi penduduk di DUN berkenaan.

Ini kerana sikap pengundi atas pagar yang sukar diramal dan berkemungkinan besar boleh memihak kepada kedua-dua calon Bebas itu.

Ramalan awal mengenai kemenangan BN turut diakui penganalisis politik daripada Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr Sivamurugan Pandian.

Beliau melihat beberapa faktor seperti populariti Najib, kerjasama UMNO dan Pas menerusi Muafakat Nasional dan calon yang dipilih BN Pahang boleh mempengaruhi pengundi sehingga membolehkan BN terus mempertahankan kerusi disandang Allahyarham Abu Bakar selama tiga penggal sejak PRU11.Katanya, populariti Najib juga memberi kesan positif kepada calon BN untuk melonjakkan sokongan pengundi.

Mohd Shukri beramah mesra dengan pengundi di kawasan Chini.
Mohd Shukri beramah mesra dengan pengundi di kawasan Chini.

“Pemilihan calon yang merupakan orang tempatan dan dekat dengan Allahyarham Abu Bakar menjadi dorongan untuk BN meningkatkan majoriti pada PRU 2018 yang lalu.

“Jadi, saya berpendapat semua faktor itu menjadi petanda aras untuk BN menang pada PRK Chini ini dengan Pas turut mengukuhkan sokongan kepadanya,” kata beliau.

Berdasarkan reputasi, BN cukup yakin mampu mengulangi kejayaannya dengan kehadiran Pas bersama mereka.

Ini dibuktikan dalam lima PRK sebelum ini apabila Pas memberi komitmen sepenuhnya untuk memenangkan calon UMNO yang bertanding atas tiket BN.

Bahkan di Parlimen Cameron Highlands dan DUN Semenyih sebelum ini, Pas turut dilihat sebagai faktor utama yang memberi kemenangan kepada BN.Sebelum ini Pas yang bertapak kuat di rancangan tanah Felda di kawasan Chini menjadi musuh utama BN dan masih tidak boleh dapat menewaskan BN. Kini Pas dan BN bergabung sebagai sebuah pasukan.

Jadi, bagaimanakah dua calon Bebas boleh mengalahkan BN yang disokong oleh Pas?

Sukar

Situasi ini sebenarnya menyukarkan lagi calon Bebas. Selain itu, Chini terletak dalam kawasan Parlimen Pekan yang disandang Najib.

Dalam pada itu, Sivamurugan menjelaskan, meskipun Tengku Zainul Hisham seorang yang aktif dan berpengalaman dalam politik, manakala Mohd Shukri merupakan aktivis masyarakat, namun mereka tidak memberikan saingan sengit kepada Mohd Sharim.

Jelasnya, walaupun mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyuarakan sokongan kepada bekas Timbalan Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Pekan, Tengku Zainal Hisham dan Mohd Shukri pula dikatakan setia kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ia tidak memberikan bonus untuk mereka berdua menang dalam perlawanan tiga penjuru itu.

“Saya beranggapan peluang untuk mereka menang amat tipis, lebih-lebih lagi jika diambil kira sentimen politik semasa.

“Sebab itu PKR tidak meletakkan calon kerana sudah memahami demografi, geografi dan tradisi politik di Chini yang amat kuat dengan UMNO dan BN. Malah, PKR juga hilang deposit pada PRU14,” katanya.

Tengku Zainul Hisham menyantuni peniaga di gerai sekitar Felda Chini 1.
Tengku Zainul Hisham menyantuni peniaga di gerai sekitar Felda Chini 1.

Sivamurugan berkata, cabaran terbesar yang dihadapi calon Bebas adalah untuk meraih undi 91 peratus pengundi Melayu yang masih kuat sokongan mereka ke atas Muafakat Nasional.

Katanya, sebanyak 82 peratus daripada jumlah pengundi itu adalah penduduk Felda dan 56 peratus lagi pengundi muda yang selalunya mengikut trend semasa.

“Mampukah calon Bebas menembusi kekuatan ini dengan guna tenaga dan batasan logistik? Kebiasaannya, calon Bebas tidak ada kekuatan jentera seperti calon BN.

“Jadi, inilah cabaran yang dihadapi calon Bebas, selain berdepan kekuatan calon BN sendiri yang pernah menjadi pegawai khas kepada bekas ADUN Chini, Allahyarham Abu Bakar,” katanya.

Sungguhpun begitu, setiap ramalan tidak semestinya tepat. Kita perlu tunggu keputusan akhir pilihan raya pada 4 Julai ini.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!