147 graduan UPNM ditauliah pangkat Leftenan Muda

Zamrose (kiri) dan Hasagaya menyempurnakan pemakaian pangkat kepada Pegawai Kadet Terbaik, Leftenan Muda Muhamad Fairul Roslan.
Zamrose (kiri) dan Hasagaya menyempurnakan pemakaian pangkat kepada Pegawai Kadet Terbaik, Leftenan Muda Muhamad Fairul Roslan.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Seramai 147 graduan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) Tentera Darat telah ditauliahkan sebagai Pegawai Muda Tentera Darat berpangkat Leftenan Muda.

Majlis Pengisytiharan Pentauliahan serta Pemakaian Pangkat Pegawai Muda Tentera Darat 2020 telah disempurnakan oleh Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Zamrose Mohd Zain bertempat di Perwira Tentera Darat, Kem Perdana Sungai Besi hari ini.

Tentera Darat dalam satu kenyataan berkata, pegawai-pegawai kadet ini berjaya menamatkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda meliputi bidang Kejuruteraan Elektrik, Kejuruteraan Awam, Kejuruteraan Mekanikal, Pengurusan Sumber Manusia Pertahanan, Pengajian Strategik serta Sains Komputer selain pegawai muda dari jurusan Perubatan.

“Majlis tersebut yang dilaksanakan secara tertutup serta penglibatan minima tanpa kehadiran ibu, bapa dan ahli keluarga sepertimana kebiasaan terdahulu, sesuai dengan normal baharu serta pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) pencegahan koronavirus Covid-19 yang ditetapkan.

“Pada majlis itu, anak kelahiran Kuala Lumpur, Leftenan Muda Muhamad Fairul Roslan dinobatkan sebagai Pegawai Kadet Terbaik Tentera Darat,” kata kenyataan itu.

Turut hadir adalah Timbalan Panglima Tentera Darat, Lt Jen Datuk Hasagaya Abdullah; Ketua Pengarah Perkhidmatan Kesihatan ATM, Lt Jen Dato' Pahlawan (Dr) Md Amin Muslan; Panglima Latihan Tentera Darat, Mej Jen Dato' Nazari Abd Hadi serta Pegawai-Pegawai Kanan ATM.

Artikel Berkaitan: