Takut ditangkap, wanita sanggup beri nombor pin bank

Wanita berusia 29 tahun terpedaya panggilan 'scammer' alami kerugian RM22,000. Gambar hiasan. - Foto 123RF
Wanita berusia 29 tahun terpedaya panggilan 'scammer' alami kerugian RM22,000. Gambar hiasan. - Foto 123RF
A
A
A

KUANTAN - Seorang wanita terkejut apabila mendapati wang simpanannya sebanyak RM22,000 lesap selepas menyerahkan nombor pin perbankan atas talian miliknya kepada individu yang tidak dikenali lapan hari lalu.

Mangsa yang berusia 29 tahun mengakui terlalu takut akan ditangkap kerana dimaklumkan bakal didakwa kerana terlibat jenayah dadah dan pengubahan wang haram.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, pada 17 Jun lalu, mangsa menerima panggilan yang mendakwa daripada syarikat penghantaran yang memaklumkan kad pengeluaran wang automatik (ATM) dan kad pengenalannya sudah di hantar ke Sabah tetapi masih belum dituntut.

Menurutnya, mangsa pada mulanya menafikan perkara itu tetapi disambungkan kepada anggota polis yang dikenali Sarjan Roslan dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah.

"Selepas itu mangsa diberitahu terlibat dengan pengubahan wang haram dan dadah selain wang dalam perbankan juga perlu dipindahkan.

"Mangsa turut diingatkan tidak memberitahu sesiapa selepas menyerahkan nombor pin perbankan miliknya," katanya.

Dalam pada itu, Mohd Wazir berkata, mangsa kemudian membuat semakan dan mendapati wang dalam simpanan lesap dan terus membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Lipis semalam.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Artikel Berkaitan: