Covid-19 antara topik perbincangan Muhyiddin, PM Vietnam

Muhyiddin menerima panggilan telefon daripada Pengerusi Asean 2020 bagi berkongsi pengalaman dan pendekatan mengenai langkah yang diambil kedua-dua negara dalam mengawal penularan pandemik itu. - Foto FB Muhyiddin Yassin
Muhyiddin menerima panggilan telefon daripada Pengerusi Asean 2020 bagi berkongsi pengalaman dan pendekatan mengenai langkah yang diambil kedua-dua negara dalam mengawal penularan pandemik itu. - Foto FB Muhyiddin Yassin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerjasama dalam mendepani cabaran semasa dan selepas penularan Covid-19 serta peranan ASEAN, antara topik yang dibincangkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Perdana Menteri Vietnam, Nguyen Xuan Phuc hari ini.

Muhyiddin menerusi hantaran di Facebooknya berkata, beliau menerima panggilan telefon daripada Perdana Menteri Vietnam yang juga Pengerusi Asean 2020 bagi berkongsi pengalaman dan pendekatan mengenai langkah yang diambil kedua-dua negara dalam mengawal penularan pandemik itu.

“Kami juga sepakat kedua-dua negara perlu meningkatkan kerjasama dalam sektor kesihatan terutama dalam penghasilan vaksin dan ubat-ubatan untuk Covid-19.

“Malaysia juga menghargai sokongan yang diberikan Vietnam dalam urusan penghantaran pulang 526 rakyat Malaysia sejak 26 Mac lepas,” katanya.

Jelas Muhyiddin, Malaysia turut membantu menghantar pulang 276 warga Vietnam pada 10 Mei lepas.

Selain itu, Muhyiddin juga menyatakan sokongan penuh Malaysia terhadap Vietnam selaku Pengerusi ASEAN serta yakin Nguyen Xuan Phuc mampu memainkan peranan proaktif dalam memimpin tindak balas ASEAN terhadap pencegahan wabak Covid-19.

“Selain memperkukuh hubungan dua hala, kami juga komited untuk memperluas bidang kerjasama meliputi ekonomi, perdagangan, pertanian dan pendidikan untuk kepentingan bersama,” katanya.

Muhyiddin turut menyaran Nguyen Xuan Phuc selaku Pengerusi ASEAN 2020 agar memainkan peranan lebih besar dalam membantu Myanmar menangani isu pelarian Rohingya yang turut menjejaskan Malaysia.- Bernama

Artikel Berkaitan: