Dua beranak maut nahas di Jalan Lipis-Merapoh

Keadaan kenderaan jenis Toyota Hilux dinaiki mangsa selepas melanggar belakang treler rosak yang diparkir di tepi jalan.
Foto: Polis Lipis
Keadaan kenderaan jenis Toyota Hilux dinaiki mangsa selepas melanggar belakang treler rosak yang diparkir di tepi jalan. Foto: Polis Lipis
A
A
A

LIPIS - Dua beranak orang asli maut selepas kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki mereka bersama empat yang lain terbabit kemalangan dengan sebuah treler muatan sawit di Kilometer 50, Jalan Lipis-Merapoh di sini tengah hari tadi.

Dalam kemalangan kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, mangsa, Sidin Angah, 27, dan ibunya, Azmah Along, 56, dari Pos Balar, Gua Musang, Kelantan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd Noor berkata, pemandu dan tiga lagi penumpang pacuan empat roda jenis Toyota Hilux itu dilaporkan cedera dengan salah seorang daripada mereka parah.

"Pemandu treler dan kelindannya masing-masing berusia 51 dan 48 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.

Keadaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dinaiki mangsa selepas melanggar belakang treler rosak yang diparkir di tepi jalan. Foto: Polis Lipis
Keadaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dinaiki mangsa selepas melanggar belakang treler rosak yang diparkir di tepi jalan. Foto: Polis Lipis

Beliau berkata, hasil siasatan awal yang dijalankan di tempat kejadian mendapati kemalangan berlaku ketika pemandu Toyota Hilux bersama lima penumpang dalam perjalanan dari Gua Musang menuju ke Gombak.

"Ketika tiba di lokasi kejadian, pemandunya dipercayai gagal mengelak dan melanggar bahagian belakang sebuah treler yang diparkir di bahu jalan kerana rosak.

"Akibat kemalangan tersebut, dua beranak terbabit mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya.

Artikel Berkaitan:

Azli berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Lipis untuk proses bedah siasat, manakala empat mangsa yang cedera dihantar ke hospital sama untuk menerima rawatan lanjut.

"Kemalangan ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.