X

Kindly register in order to view this article
!

Tokoh wartawan Subky Latif meninggal dunia

Allahyarham Subky Abdul Latif
A
A

GOMBAK - [DIKEMAS KINI] Tokoh wartawan, Ahmad Subki Abdul Latif atau lebih dikenali Subky Abdul Latif disahkan meninggal dunia di kediamannya di Taman Karak Utama, di sini pada jam 11.05 pagi tadi.

Allahyarham berusia 80 tahun meninggal dunia akibat sejenis penyakit darah dikenali myelodysplastic syndromes (MDS).

Berita kematian pengasas akhbar lidah rasmi Pas iaitu Harakah itu dikongsikan anaknya, Dang Fatihah menerusi catatan di laman Facebook beliau.

Dang Fatihah yang juga Setiausaha Akhbar Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang), Datuk Takiyuddin Hassan turut memaklumkan jenazah akan dibawa ke Masjid Bilal Bin Rabah selepas waktu Zuhur.

"Dukacita ingin dimaklumkan ayahanda kami Subky Abdul Latif telah pun menghembuskan nafas terakhir.

"Segala salah dan silap mohon diampunkan. Doakan arwah ditempatkan bersama para Nabi, sahabat, orang-orang soleh. Amin,” kata Dang Fatihah bersama anak-anak Allahyarham Subky yang lain melalui laman Facebook bapanya itu.

Dang Fatihah ketika dihubungi Sinar Harian memaklumkan Allahyarham Subky didiagnos mempunyai sejenis penyakit kanser darah itu pada Mac tahun ini sewaktu mendapatkan rawatan di sebuah hospital di Kuala Lumpur.

Menurutnya, Allahyarham tidak sedarkan diri pada jam 10 pagi tadi sebelum meninggal dunia ditemani seluruh ahli keluarganya.

"Mengenai keadaan penyakit arwah, kena tanya doktor merawatnya kerana kondisi beliau selama ini kita nampak sihat sahaja.

"Tidak kisah siapa arwah di mata dunia, bagi kami sekeluarga, kami baru kehilangan seorang 'apak'.

"Alhamdulillah juga, pada akhir kehidupan arwah, beliau kembali dihormati dengan segala usahanya diberi penghargaan sewajarnya. Itu paling penting buat kami," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Dang Fatihah berkata, Allahyarham dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Raudhatus Sakinah selepas waktu Asar.

Allahyarham Subky yang dilahirkan di Sitiawan, Perak pada 28 Julai 1940, berkahwin dengan Naznah Taha dan dikurniakan lima anak iaitu Dang Fatiha, Hang Muhammad Iftitah, Abdul Latif Rahbar, Muhammad Ramadhan Subky dan Ahmad Huzaifah.

Allahyarham Subky yang memulakan karier kewartawanan dengan menjadi wartawan Utusan Melayu dan Warta Negara di Pulau Pinang mulai 1963, merupakan bekas wartawan kanan Kumpulan Akhbar Utusan Melayu yang sangat disegani dan popular dengan penulisan rencana serta pojok.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari.Langgan Sekarang!

Polisi Data Peribadi Karangkraf