Covid-19: 15 kes positif dikesan hari ini

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah -Foto Bernama
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah -Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Terdapat 15 kes positif koronavirus (Covid-19) di kesan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu 13 penularan tempatan melibatkan warga asing dan dua kes import.

"Dua kes membabitkan kes import yang mendapat jangkitan di Indonesia dan Singapura dan mangsa ialah warganegara Malaysia.

"Tiada kes penularan di dalam negara dalam kalangan rakyat tempatan," katanya pada sidang media perkembangan terkini Covid-19 di kementeriannya di sini hari ini.

Menurutnya, satu kes melibatkan warga asing dikesan pada pra pembedahan di Hospital Selayang manakala 12 lagi terdiri daripada Kluster Pedas, Negeri Sembilan.

"Kluster Pedas antara kluster yang masih aktif dengan 316 kes positif dikesan.

"Pertambahan kes baru hari ini menjadikan jumlah kumulatif positif Covid-19 meningkat kepada 8,587 kes dan sebanyak 289 kes masih dirawat di hospital," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, hanya dua pesakit Covid-19 yang dirawat di unit rawatan rapi, namun tiada yang memerlukan bantuan pernafasan.

Artikel Berkaitan:

"Adalah dimaklumkan bahawa tiada pertambahan kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan pada hari ini.

"Justeru, jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 adalah kekal 121 kes bersamaan dengan 1.41 peratus daripada jumlah keseluruhan kes," katanya.

Menurutnya, terdapat 21 kes yang pulih dan dibenarkan discaj.

"Jumlah kumulatif kes yang pulih sepenuhnya adalah sebanyak 8,177 kes bersamaan dengan 95.2 peratus daripada jumlah keseluruhan kes," katanya.