Tempuh jarak 80km untuk dialisis

Norhidayu meminta kerajaan membina pusat dialisis bagi memudahkan pesakit buah pinggang di Chini, Pekan mendapat rawatan terbaik. -Foto Norhidayu
Norhidayu meminta kerajaan membina pusat dialisis bagi memudahkan pesakit buah pinggang di Chini, Pekan mendapat rawatan terbaik. -Foto Norhidayu
A
A
A

KUANTAN - Pesakit buah pinggang memohon kerajaan menyediakan pusat dialisis di Chini bagi memberi kemudahan kepada mereka mendapatkan rawatan berikutan terpaksa menempuh jarak perjalanan sehingga 80 kilometer untuk mendapatkan rawatan di tempat lain.

Seorang ibu dua anak, Norhidayu Arshad, 29, dari Chini yang disahkan menghidap penyakit buah pinggang kronik pada 2017 mengakui terpaksa melalui perjalanan lebih sejam setiap tiga kali seminggu ke Unit Hemodialisis Pekan.

Beliau berkata, rutin tersebut terpaksa diteruskan berikutan tidak mempunyai pilihan lain selain memberitahu terpaksa mengunyah ais bagi mengatasi rasa dahaga kerana pesakit buah pinggang mempunyai had dalam pengambilan air iaitu hanya dibolehkan sebanyak 500 mililiter (ml) sehari.

"Saya bersama lapan lagi individu yang senasib, sengsara dalam perjalanan jauh dengan menaiki van disediakan pihak Klinik Kesihatan Chini ke pusat rawatan dialisis pada setiap Selasa, Khamis dan Sabtu.

"Selain jarak, rutin dan prosedur semasa proses rawatan yang memakan masa agak lama dan kemudiannya pulang semula ke Chini pada lewat petang, menyebabkan saya dan pesakit lain berasa letih.

"Jadi, sebab itu saya dan pesakit-pesakit lain mohon pihak kerajaan menyediakan pusat dialisis di Chini bagi memudahkan pesakit seperti saya mendapatkan rawatan terbaik dan lebih berkualiti," katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

Norhidayu berkata, beliau terpaksa bergantung hayat sepenuhnya pada rawatan dialisis selagi tiada penderma organ.

“Saya dulunya aktif tetapi secara tiba-tiba mengalami bengkak pada keseluruhan tubuh.

Artikel Berkaitan:

"Sebaik menjalani pemeriksaan, doktor mengesahkan kedua-dua buah pinggang mengalami kegagalan," katanya.

Sebelum menjalani dialisis, Norhidayu berkata, beliau perlu mengambil kalsium yang dibekalkan hospital sebelum dirujuk doktor untuk menjalani dialisis.

"Tiada istilah takut atau putus asa sebaik disarankan doktor menjalani dialisis seumur hidup," katanya.