Rahadiazli tekad rebut tempat

Rahadiazli Rahalim
Rahadiazli Rahalim
A
A
A

SELEPAS terlepas peluang ke pusingan kelayakan Kejuaraan AFC B-19 di Phnom Penh, Kemboja akibat kecederaan lutut, penjaga gol Terengganu FC (TFC), Rahadiazli Rahalim berazam mahu merebut slot dalam skuad muda negara tahun ini.

Malah, pengalaman beraksi bersama TFC di pentas Liga Super awal tahun ini disifatkan Rahadiazli sebagai satu kelebihan dan keyakinan untuk beliau meletakkan diri dalam senarai akhir 23 pemain yang akan mewakili negara ke Kejuaraan AFC B-19 2020 di Uzbekistan yang bakal bermula Oktober nanti.

Walaupun bakal menerima saingan sengit daripada calon penjaga gol lain, beliau yang berusia 19 tahun yakin momentum positif yang dipamerkan ketika beraksi bersama TFC pada pembukaan Liga Super tahun ini dapat menarik minat ketua jurulatih Harimau Muda, Brad Maloney.

“Tahun lepas saya turut dipanggil ke kem latihan pusat tetapi jurulatih (Maloney) terpaksa menggugurkan saya kerana mengalami kecederaan lutut ketika perlawanan akhir Piala Belia.

“Saya bertekad mahu memperbaiki kelemahan yang ada dan merebut slot ke kejuaraan AFC B-19 itu nanti,” katanya ketika dihubungi.

Skuad Harimau Muda kendalian Maloney akan memulakan kempen di Uzbekistan menentang Tajikistan pada 16 Oktober depan disusuli Qatar (19 Oktober) dan Yaman (22 Oktober). - Bernama

Artikel Berkaitan: