Masa depan Luiz di Arsenal samar

David Luiz
David Luiz
A
A
A

MASA depan pertahanan tengah Arsenal, David Luiz di kelab itu samar selepas berkemungkinan kontraknya yang berakhir musim ini tidak akan disambung.

Pengendali Arsenal, Mikel Arteta berkata, masalah kewangan yang melanda The Gunners akibat pandemik Covid-19 bakal menyaksikan kelab akan melepaskan bekas pemain Chelsea itu ke kelab lain.

Namun, Arteta menegaskan dia akan cuba mempertahankannya dan yakin Luiz masih mampu memberikan impak positif kepada pasukan.

"Saya tidak tahu mengenai masa depan Luiz di sini. Kami tidak boleh membelakangkan situasi kewangan kelab ketika ini.

"Apa yang kelab sedang lakukan sekarang adalah melihat dan menilai situasi semasa dan melihat apa kemungkinan yang akan berlaku pada masa akan datang.

"Kami sedang cuba melakukan yang terbaik dan saya tahu sukar buat kami sekiranya perlu melepaskan pemain yang diperlukan," katanya.

Luiz dikritik hebat selepas kekalahan 0-3 kepada Manchester City dalam saingan Liga Perdana Inggeris kelmarin dengan pemain kelahiran Brazil itu turut dibuang padang selepas 25 minit dimasukkan sebagai pemain gantian.

Dia kini menghadapi dua pergantungan perlawanan dan dengan kontraknya yang tamat pada 30 Jun ini, dia tidak akan berpeluang lagi untuk beraksi bersama Arsenal melainkan dia menandatangani kontrak jangka pendek sebelum tarikh akhir 23 Jun.

Artikel Berkaitan:

Dalam masa sama, Arteta mengakui resah sekiranya terpaksa melupakan khidmat Luiz memandangkan pemain itu antara tonggak berpengalaman dalam pasukan.

“Luiz juga pernah menyuarakan keinginan mahu terus kekal di sini. Perkara itu saya nilai darinya dan saya perlu adil.

“Secara peribadi saya akan mempertahankannya kerana saya percayakannya. Dia telah membuktikan banyak perkara dalam kariernya kepada saya," katanya.