Serang rakan dengan parang

Gambar Hiasan
Gambar Hiasan
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang remaja tergamak menyerang rakannya dengan sebilah parang hanya disebabkan salah faham berhubung kehilangan telefon bimbit teman wanitanya, dalam kejadian di Seberang Takir, Gong Badak, Kuala Nerus, Jumaat lalu.

Kejadian kira-kira jam 9 malam itu menyebabkan mangsa, 19, terpaksa dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini dan menerima 10 jahitan di kepalanya.

Menurut sumber, kejadian dipercayai berlaku selepas suspek menuduh mangsa mencuri telefon bimbit milik teman wanitanya.

Katanya, sebelum insiden itu, mangsa dikatakan pergi ke sebuah kedai makan berhampiran bersama beberapa rakan termasuk suspek sebelum lelaki terbabit mengajak mangsa ke rumahnya.

"Mangsa yang tidak mengesyaki apa-apa menerima ajakan suspek dan sebaik tiba di rumahnya, lelaki terbabit segera masuk ke dalam manakala mangsa hanya menunggu di luar.

"Bagaimanapun, suspek yang keluar sambil membawa sebilah parang bertindak memukul kepala mangsa kerana tidak berpuas hati dengan remaja lelaki terbabit yang dikatakan mencuri telefon bimbit milik teman wanitanya.

"Mangsa menafikan tuduhan suspek tetapi mengaku ada membeli sebuah telefon jenama Iphone 5S daripada suspek di sebuah rumah kedai di Kampung Batin, Kuala Nerus sebelum ini," katanya.

Sumber berkata, akibat perbuatan itu, mangsa yang cedera di kepala mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah dan menerima 10 jahitan akibat kecederaan dialaminya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, mangsa yang bimbang keselamatan diri membuat laporan di Balai Polis Gong Badak pada keesokan harinya (Sabtu) untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Superintendan, Suffian Sulaiman ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan berhubung kejadian.

Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera menggunakan senjata atau lain-lain benda berbahaya.