Warga emas mahu tebus hadiah kereta rugi RM15,000

 Nik Ezanee Mohd Faisal
Nik Ezanee Mohd Faisal
A
A
A

PETALING JAYA - Seorang lelaki warga emas mengalami kerugian RM15,000 selepas terpedaya dengan taktik licik seorang lelaki yang menyamar sebagai ‘Contest Department Manager’ sebuah pasar raya yang menawarkan hadiah kereta Toyota.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, lelaki berusia 76 tahun itu mendakwa suspek datang kepadanya ketika dia sedang memasukkan barangan yang dibeli ke dalam kereta di sebuah pasar raya di Kelana Jaya.

“Suspek memaklumkan mangsa telah memenangi sebuah kereta Toyota dan hadiah itu boleh ditebus serta-merta.

"Mangsa yang terpedaya dengan kata-kata suspek itu telah mengikutnya ke sebuah kedai pameran kereta di Klang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Nik Ezanee berkata, ketika dalam perjalanan, suspek meminta mangsa menyerahkan kad mesin juruwang automatik (ATM), kad kredit dan lesen memandu untuk dibuat salinan bagi penebusan hadiah.

"Sebaik tiba di pusat pameran kereta itu, suspek turun dari kenderaan berkenaan sebelum menghilangkan diri ketika mangsa menunggunya di tempat letak kereta.

"Dalam kejadian itu, mangsa mendakwa mengalami kerugian sebanyak RM15,000," katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Artikel Berkaitan: