X

Kindly register in order to view this article
!

Tukang potong rumput mengaku tidak bersalah pukul isteri

Tertuduh mengaku tidak bersalah memukul isterinya dengan tongkat di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang tukang potong rumput dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memukul isterinya menggunakan sebatang tongkat Jun lalu.

Tertuduh, Hamahazim Awang, 49, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Jamaludin Mat.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas isterinya yang berusia 39 dengan cara memukul lutut kiri mangsa menggunakan sebatang tongkat.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Kampung Pak Tijah di sini jam 11.30 pagi pada 11 Jun lalu.

Dengan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 326A Kanun Keseksaan.

Jika disabitkan kesalahan, bagi kesalahan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan itu, tertuduh boleh dipenjara sehingga 10 tahun atau dengan denda atau dengan sebatan atau mana-mana dua daripada seksaan itu.

Bagi hukuman di bawah Seksyen 326A Kanun Keseksaan pula, tertuduh boleh dipenjara dua kali ganda tempoh maksimum dikenakan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan itu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Yuhanis Mohd Roslan manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Sejurus pengakuan tidak salah tertuduh direkodkan, mahkamah menetapkan 6 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk serahan dokumen dan lantikan peguam.

Selain memutuskan tertuduh dibenarkan diikat jamin RM5,000 bersama seorang penjamin dengan menetapkan syarat yang tertuduh tidak boleh mengganggu mangsa serta saksi sepanjang tempoh prosiding berjalan.

Difahamkan kejadian berlaku selepas lelaki itu gagal mengawal perasaan amarahnya apabila mengesyaki mangsa curang di belakangnya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!