Awas gelombang ketiga Covid-19

No Image Caption
A
A
A

PERTUBUHAN Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan, sekitar 1.7 bilion atau 20 peratus penduduk dunia berdepan risiko tinggi dijangkiti Covid-19 disebabkan mempunyai masalah kesihatan seperti obesiti dan penyakit jantung.

Sehingga kini, gelombang pertama virus itu sudah membunuh hampir 440,000 orang di seluruh dunia dan akan memberi kesan lebih teruk kepada mereka yang berpenyakit bahaya. Kajian juga mendapati, satu daripada lima orang akan berdepan risiko tersebut, malah kira-kira empat peratus penduduk global atau 350 juta penduduk boleh dijangkiti dan memerlukan rawatan hospital.

Tambahan pula, ketika ini banyak negara sudah tidak lagi melaksanakan perintah berkurung atau mengamalkan perintah berkurung yang dilonggarkan demi memacu pertumbuhan ekonomi di negara masing-masing, maka risikonya lebih tinggi. Apatah lagi terdapat sesetengah negara yang telah mula membuka pintu untuk aktiviti pelancongan.

Hal ini turut mencetuskan kebimbangan bahawa Malaysia bakal berdepan gelombang ketiga susulan kewujudan kluster pendatang asing, pembukaan pusat beli-belah dan penjarakkan sosial tidak dipatuhi orang ramai. Adalah tidak mustahil untuk negara mencatatkan peningkatan kes harian seperti sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan jika pendekatan keselamatan yang dilaksana dan diamalkan selama ini mula diabaikan.

Walaupun negara kita sudah mencatatkan satu atau dua angka kes, kita jangan leka dengan kejayaan melawan pandemik ini kerana kita belum berjaya memutuskan sepenuhnya rantaian jangkitan di negara ini.

Perlu diketahui, ramai yang positif Covid-19 hanya mengalami gejala ringan atau langsung tiada gejala seterusnya berupaya menyebarkan virus itu kepada orang lain. Oleh itu, orang ramai dinasihatkan tidak mengambil mudah kelonggaran PKPP kerana individu dewasa berisiko tinggi menjadi pembawa virus tanpa disedari, terutama kepada anak-anak mereka ataupun anak kalangan ahli keluarga terdekat kerana jangkitan virus ini sudah menular dalam kalangan ramai kanak-kanak meskipun tiada kematian membabitkan golongan tersebut.

Sehingga 17 Mei, seramai 317 kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah dikesan positif virus itu dan Selangor mencatatkan kes jangkitan tinggi dan ini setara dengan beban kes pesakit dewasa.

Ibu bapa yang berisiko tinggi, misalnya yang baru pulang dari tempat kerja atau berurusan di luar rumah dalam tempoh lama, digalakkan menyaring diri sendiri meskipun tiada gejala terutama jika dalam keluarga mempunyai anak kecil, orang kurang upaya atau warga emas. Jangan kerana kelalaian kita sebagai ibu bapa, merebaknya kes kalangan kanak-kanak hingga berpotensi mewujudkan gelombang ketiga jangkitan.

Artikel Berkaitan:

Ringkasnya, terdapat banyak faktor boleh menyumbang kepada peningkatan kes positif wabak itu hingga berupaya mewujudkan gelombang ketiga pandemik ini. Maka tidak menghairankan jika terdapat pakar kesihatan awam yang mahu kerajaan menilai semula kelonggaran pergerakan berikutan ketika ini masih tiada vaksin Covid-19.

Selagi tiada penemuan vaksin khas, kita terus berdepan kewujudan gelombang kecil dan dengan kelonggaran pergerakan dan operasi perniagaan semula ia akan mengakibatkan kes jangkitan baharu. Oleh itu, selain menyesuaikan diri dengan normal baharu pandemik Covid-19, masyarakat perlu mematuhi tanggungjawab sosial masing-masing.

Pandemik Covid-19 akan terus berlegar dalam kalangan masyarakat. Justeru tiga perkara penting yang perlu diamalkan adalah mengelakkan tempat yang sesak, kawasan tertutup dan elakkan bercakap pada jarak yang dekat (kurang dari satu meter). Pada masa ini, langkah berkesan mencegah Covid-19 ialah menjaga dan mempraktikkan amalan kebersihan diri dengan kerap membasuh tangan dengan air dan sabun, menggunakan pelitup muka dan mengamalkan penjarakkan sosial.

Semuanya bergantung kepada kita. Setiap orang mempunyai peranan untuk mengelak potensi gelombang ketiga Covid-19. Hargailah segala penat lelah dan kerja keras sepanjang masa barisan hadapan kita selama ini.

**Profesor Madya Dr Haliza Abdul Rahman ialah Ketua Laboratori Kesejahteraan dan Kesihatan Sosial Belia Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS),Universiti Putra Malaysia