'Aku penggembala kambing'

Kambing jenis boer peliharaan Nik Afendy kini berjumlah 70 ekor.
Kambing jenis boer peliharaan Nik Afendy kini berjumlah 70 ekor.
A
A
A

KOTA BHARU - Usia muda bukan penghalang buat anak kelahiran negeri Cik Siti Wan Kembang ini untuk memilih menjadi penggembala kambing bagi menyara kehidupan keluarganya.

Nik Afendy Nik Mat, 35, berkata, kerjayanya itu bermula lapan tahun lalu dengan memelihara 14 kambing jenis boer sebagai permulaan.

Menurutnya, kambing jenis boer yang kemudiannya dikacuk dengan jenis jamnapari itu kini jumlahnya sudah meningkat sehingga 70 ekor yang dijaga di sebuah kandang yang dibina di belakang rumahnya di Kampung Tegayong, Melor di sini.

“Idea memelihara kambing sebenarnya bermula apabila saya sukar untuk mendapatkan kambing akikah untuk kelahiran anak pertama dan mula-mula hanya pelihara 14 ekor sehingga kini sudah 70 ekor.

“Saya bermula dengan modal RM6,000 dan membina kandang kambing di atas tanah yang disewa dengan keluasan hampir satu ekar di belakang rumah ini,” katanya hari ini.

Bapa kepada empat anak berusia tiga bulan hingga 13 tahun itu berkata, rutin hariannya bermula seawal jam 8 pagi dan berlarutan sehingga lewat petang iaitu memberi makan dedak dan bijirin soya serta membersihkan kandang sambil dibantu oleh seorang pekerja.

Nik Afendy melakukan rutin hariannya dengan memberi ternakannya makan.
Nik Afendy melakukan rutin hariannya dengan memberi ternakannya makan.

“Saya perlu memeriksa keadaan kambing dengan memastikan kambing sentiasa aktif dan agresif sebagai tanda sihat.

Artikel Berkaitan:

“Kambing tidak sihat akan bermuka pucat, tidak bermaya, kerap ‘termenung’, ‘menyendiri’ dan boleh melihat simptom mata berair cirit serta najis berlendir,” katanya.

Menurutnya, setiap tiga atau enam bulan sekali saya akan memberi kambing makan ubat 'cacing' untuk memastikan ternakan itu tidak sakit dan mengelak kembung perut, bulu gugur serta bengkak mata.

“Saya merancang untuk membeli dan menambah bilangan ternakan bagi memenuhi permintaan tinggi terutamanya bagi tujuan menyempurnakan akikah bayi.

“Saya juga mengadakan perbincangan dengan pihak Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) untuk mendapatkan bantuan untuk membesarkan kandang kerana ternakan yang semakin banyak,” katanya.

Nik Afendy berkata, sebanyak RM3,500 sebulan diperuntukkan untuk membeli makanan jenis dedak dan kambing cepat membiak selain boleh melahirkan anak kembar tiga hingga empat ekor dalam tempoh empat bulan sekali atau dua kali setahun.

“Kambing saya dijual bermula dengan harga RM500 hingga RM2,000 seekor bergantung kepada saiz dan berat," katanya.