X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 19 Oktober 2021

Azmin tolak dakwaan tubuh parti baharu

Mohamed Azmin sewaktu menghadiri Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2019 di Menara Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) hari ini. - Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menolak dakwaan beliau bakal menubuhkan parti politik baharu selepas keluar dari PKR sejak Februari lalu.

Sebaliknya, beliau yang kini Menteri Kanan (Ekonomi) merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) menegaskan akan kekal pendirian untuk menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Menurutnya, beliau masih perlu melalui proses penyertaan parti itu yang akan mengambil sedikit masa seperti ahli lain, bagaimanapun tumpuan beliau masih kepada keperluan memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

"Tidak timbul soal buka parti politik baharu pada parti ini kerana tumpuan kita adalah demi memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

"Yalah kita memang hendak masuk Bersatu tetapi saya orang baharu. Proses (kemasukan parti yang mengambil masa) kena laluilah," katanya kepada media sewaktu menghadiri Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2019 di Menara Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab dakwaan kononnya beliau bersama 11 ahli Parlimen yang turut keluar PKR bakal menubuhkan sebuah parti baharu yang dipercayai dinamakan Parti Keadilan Nasional.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Presiden Bersatu sebelum ini mengumumkan penyertaan Mohamed Azmin dan ahli Parlimen yang menyokongnya ke dalam parti itu sekali gus membantu pembentukan kerajaan Perikatan Nasional.

Mohamed Azmin berkata, tumpuan utama pihaknya pada ketika ini adalah demi memastikan kerajaan Perikatan Nasional menjadi kuat dan stabil.

Menurutnya, kepimpinan berkesan Muhyiddin dalam tempoh singkat dalam menyelesaikan beberapa krisis besar seperti kesihatan dan ekonomi telah membuktikan kemampuan beliau sebagai Perdana Menteri.

"Bagi saya, untuk menguji tahap kepimpinan seseorang itu adalah menerusi krisis.

"Dalam tempoh singkat, Tan Sri Muhyiddin berjaya menunjukkan kepimpinan terbaik, kekal tenang tetapi berkeupayaan menyelesaikan isu ekonomi yang dihadapi negara ketika ini," katanya.

Mohamed Azmin turut menegaskan kerajaan Perikatan Nasional akan meneruskan tumpuan bagi mendepani ekonomi global pasca pandemik koronavirus (Covid-19) yang lebih mencabar.

"Sekali lagi kita sudah mengambil pelbagai langkah proaktif tetapi kita sudah bersedia dengan pelbagai pakej rangsangan ekonomi diperkenalkan seperti Prihatin dan Penjana sebelum ini.

"Itu semua untuk memastikan keresahan dan kepayahan rakyat akan dapat ditangani," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!