Balas semula kepercayaan kerajaan

Kapten Perak, Shahrul Saad menjalani ujian calitan di Stadium Perak, Ipoh kelmarin.
Kapten Perak, Shahrul Saad menjalani ujian calitan di Stadium Perak, Ipoh kelmarin.
A
A
A

PEMAIN dan pegawai pasukan Liga Malaysia (Liga-M) perlu meningkatkan tahap disiplin masing-masing dalam mematuhi setiap prosedur operasi standard (SOP) selepas kerajaan memberikan kebenaran untuk memulakan sesi latihan mulai kelmarin.

Menurut mantan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Seri Zolkples Embong, setiap pemain dan pegawai perlu mengembalikan semula kepercayaan kerajaan yang memberikan kelonggaran berlatih pada ketika semua pihak di negara ini berhempas pulas memutuskan rantaian pandemik Covid-19.

“Jadi apabila kerajaan memberikan kelonggaran untuk saingan Liga-M kembali berlatih sebelum bersambung pada September depan, ia perlu dibalas dengan tahap disiplin tinggi terutamanya dalam pematuhan setiap SOP.

“Pemain dan pegawai pasukan juga kena tahu bahawa mereka kini secara tidak langsung akan menjadi contoh kepada penganjuran semula saingan liga sukan lain semasa usaha memutuskan rantaian Covid-19 giat dilaksanakan.

“Jika pemain dan pegawai mematuhi SOP ditetapkan dan liga berjalan lancar, pastinya akan dicontohi sukan lain seperti hoki, badminton dan sebagainya. Namun, jika pemain dan pegawai mengambil sikap sambil lewa, ia bakal memberikan implikasi buruk.

“Paling penting kita kena ingat sekiranya berlaku kluster bola sepak, ia turut akan memberikan kesan kepada acara sukan lain,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Zolkples Embong
Zolkples Embong

MFL sebelum ini menetapkan empat perkara utama dalam SOP yang perlu dipatuhi setiap pasukan dan kelab Liga-M sebelum dibenarkan kembali menjalani latihan.

Artikel Berkaitan:

Dua perkara utama ialah setiap pasukan perlu menyerahkan ujian swab yang telah disahkan oleh doktor pasukan kepada pihak MFL selain melantik seorang pegawai penyelaras untuk memantau pematuhan SOP.

Dua perkara seterusnya ialah setiap pasukan wajib menamakan pusat latihan yang diadakan di kawasan tertutup serta venue latihan perlu didaftarkan melalui pautan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia (MITI) notification.miti.gov.my.

“Kejujuran dalam diri setiap pemain dan pegawai itu penting sebenarnya terutamanya apabila berada di luar pemantauan MFL kerana sebarang pengabaian terhadap SOP secara tidak langsung akan mengancam keselamatan dan kesihatan orang lain di sekeliling.

“Jadi nasihat saya janganlah kita timbulkan masalah sehingga menyebabkan kerajaan pening kepala hanya disebabkan timbulnya kluster bola sepak yang tidak mematuhi SOP.

“Kita kena ingat dalam krisis pandemik Covid-19 yang berlaku sekarang, banyak lagi masalah rakyat dan negara yang perlu kerajaan berikan keutamaan,” tegasnya.