883 taska di rumah kembali beroperasi

Sebanyak 387 taska telah menjalani pemeriksaan JKM dan didapati mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan. - Foto Bernama
Sebanyak 387 taska telah menjalani pemeriksaan JKM dan didapati mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan. - Foto Bernama
A
A
A

SEPANG - Sebanyak 883 taska di rumah yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah kembali beroperasi selepas ditutup berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, daripada jumlah itu, 387 telah menjalani pemeriksaan JKM dan didapati mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Katanya, antara SOP yang ditetapkan ialah ibu bapa atau penjaga harus memastikan si anak berada dalam keadaan sihat ketika dihantar ke taska.

“Setakat ini, pemeriksaan mendapati taska di rumah mematuhi pelaksanaan SOP terbabit,” katanya kepada pemberita selepas melawat Taska Afiqah Amniyah di Taman Arked, Dengkil dekat sini hari ini.

Taska di rumah menempatkan kanak-kanak berusia 4 tahun ke bawah dengan jumlah maksimum sembilan orang bagi setiap premis.

Sementara itu, Rina berkata, mereka yang hilang pekerjaan ekoran pandemik Covid-19 serta berminat untuk menjadi pengasuh kanak-kanak atau menjadi pengusaha taska digalakkan mengikuti Kursus Asuhan dan Didikan Awal Kanak-kanak (KAP).

Menurutnya, kerajaan melalui Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) meluluskan bayaran insentif KAP sebanyak RM900 bagi setiap peserta dan mereka yang berminat boleh memohon untuk mengikuti kursus KAP menerusi laman web JKM.

Kursus KAP terbuka kepada warganegara Malaysia berusia 18 tahun ke atas yang berminat untuk bekerja dalam industri pengasuhan kanak-kanak dan terbuka kepada pengasuh taska yang belum menghadiri dan lulus KAP. - Bernama

Artikel Berkaitan: