Kementerian Pengangkutan cadang beri diskaun saman tertunggak

Dr Wee Ka Siong
Dr Wee Ka Siong
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Pengangkutan bercadang memberi tawaran diskaun untuk saman tertunggak sempena bulan kemerdekaan pada bulan Ogos ini.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, pihak kementerian sedang berbincang dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengenai kaedah untuk membantu rakyat yang mempunyai saman tertunggak dan disenaraihitamkan, yang menyebabkan mereka tidak boleh berdaftar dengan perkhidmatan e-hailing, termasuk untuk perkhidmatan menghantar makanan.

Katanya, beliau menerima banyak rayuan mengenai tunggakan saman dan tindakan senarai hitam, yang mengakibatkan mereka tidak boleh mencari pendapatan melalui perkhidmatan e-hailing terutama ketika tempoh sukar dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan susulan pandemik koronavirus (Covid-19).

"Kita tahu tahun ini orang susah, kita berbincang, bulan kemerdekaan ini kita bagi diskaun yang akan diumumkan nanti.

"Kita bagi tawaran supaya mereka dapat selesaikan (tunggakan saman) dan keluar daripada senarai hitam yang menyebabkan lesen tidak boleh diperbaharui.

"Kita bukan batalkan terus (saman) tetapi beri tawaran (diskaun) dalam keadaan susah kerana berdepan dengan Covid-19," katanya dalam temu bual bersama media bersempena 100 hari beliau sebagai Menteri Pengangkutan di sini baru-baru ini.

Sementara itu, Ka Siong berkata, beliau telah meminta Ketua Pengarah JPJ, Datuk Seri Shaharuddin Khalid menganjurkan Hari Bertemu Pelanggan di setiap pejabat JPJ bermula September ini bagi mengenal pasti masalah rakyat dan menyelesaikannya. - Bernama

Artikel Berkaitan: