X

Kindly register in order to view this article
!

Tak mudah bagi UMNO ketepikan lambang BN pada PRU15

SHAHRIR
A
A

SHAH ALAM - Pemimpin UMNO, Tan Sri Shahrir Abd Samad memberi bayangan bahawa Perikatan Nasional (PN) hanya sekadar 'gabungan pilihan raya' tanpa menggunakan satu logo bendera yang sama pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ini kerana Shahrir yang merupakan bekas Ahli Parlimen Johor Bahru itu menyifatkan tidak mudah bagi UMNO untuk mengenepikan Barisan Nasional (BN) dan logo dacing.

“Saya tidak percaya begitu mudah untuk kepimpinan UMNO di semua peringkat untuk terus mengenepikan BN dan tidak lagi memakai lambangnya dalam PRU yang akan datang ini.

“Betul, buat seketika selepas PRU14, adanya anggota BN yang menolak penggunaan lambang BN tapi hanya setakat satu PRK (Pilihan Raya Kecil) sahaja kerana apabila terbukti penerimaan pengundi di PRK Cameron Highlands, Semenyih dan Rantau, MCA tetap mengguna lambang BN di Tanjung Piai.

"Menang bergaya pula tu. Di PRK Kimanis pun begitu," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau merujuk MCA yang menggunakan lambang partinya sendiri ketika PRK Balakong pada Ogos 2018 yang menyaksikan calonnya kalah besar kepada calon Pakatan Harapan (PH) daripada DAP.

Setakat ini, PN belum didaftarkan secara rasmi dan beberapa pemimpin kanan UMNO sebelum ini dilihat keberatan untuk ke arah itu.

Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO sebelum ini juga dilaporkan menolak penubuhan PN.

Mengulas lanjut, Shahrir berkata, soal kedudukan PN, sama ada sebagai satu gabungan pilihan raya atau lebih daripada itu akan diputuskan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO dan jawatankuasa Muafakat Nasional dalam masa terdekat ini.

"Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) dan parti Azmin lebih mungkin diisytihar sebagai PN.

"Parti Azmin akan mewakili orang bukan Melayu seperti MCA, MIC dan parti komponen lain dalam BN dan masing-masing akan menggunakan lambang pilihan raya sendiri.

"Jika setakat satu perjanjian pilihan raya, soal yang perlu dirunding ialah pembahagian kerusi antara BN, Pas dan Perikatan Nasional serta penggubalan satu tawaran kepada pengundi. Kita tunggu sahajalah apa keputusan MT UMNO dan JK MN (Jawatankuasa Muafakat Nasional) dua tiga hari lagi," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!