Samseng perkauman dikutuk di Britain

Dua orang bergaduh dekat stesen kereta api Waterloo, tengah London pada 13 Jun lalu. - Foto AFP
Dua orang bergaduh dekat stesen kereta api Waterloo, tengah London pada 13 Jun lalu. - Foto AFP
A
A
A

PERDANA Menteri Britain, Boris Johnson bertindak mengutuk kegiatan samseng perkauman selepas berlaku pergaduhan antara penunjuk perasaan pergerakan Black Lives Matter dengan polis pencegah rusuhan di Trafalgar Square dan stesen kereta api Waterloo.

Dalam kejadian itu, kira-kira 1,300 orang bertindak merusuh dan kekal berada di tengah London pada Sabtu lalu.

Kejadian itu berlaku selepas jam 5 petang waktu tempatan iaitu tempoh bermulanya perintah berkurung yang ditetapkan polis.

Polis melaksanakan perintah berkurung bermula jam 5 petang waktu tempatan sebagai usaha untuk menamatkan ketidaktenteraman pada hari tersebut.

Menurut agensi berita AFP, polis di London menahan lebih 100 orang kerana bertindak balas terhadap demonstrasi menentang anti-perkauman.

Ribuan orang pula mengingkari larangan sekatan dan penjarakan sosial apabila mereka berhimpun di sekitar Dataran Parlimen di tengah London.

Perkhidmatan Polis Metropolitan berkata, mereka kini juga berdepan dengan keganasan yang ditujukan kepada pegawai-pegawainya.

"Mereka yang ditangkap itu adalah atas sebab melakukan serangan ke atas para pegawai, memiliki senjata dan keganasan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Imej televisyen menunjukkan sejumlah orang membaling botol dan bom asap ke arah para pegawai polis selain bergaduh dengan kumpulan penunjuk perasaan yang menjadi saingan mereka.

Imej ketidakpatuhan terhadap ketenteraman awam turut dikongsi di media sosial, kata Perdana Menteri Britain itu.

"Perkauman tidak mempunyai tempat di United Kingdom (UK) dan kami mesti bekerjasama untuk menjadikannya sebagai realiti," kata Boris di laman Twitternya.

Ketika sejumlah kecil veteran tentera yang memakai uniform berarak secara aman, mereka diganggu sebahagian pembuat kacau dan penyokong Black Lives Matter.

Para aktivis Black Lives Matter berhimpun di Trafalgar Square, London pada 13 Jun lalu. - Foto AFP
Para aktivis Black Lives Matter berhimpun di Trafalgar Square, London pada 13 Jun lalu. - Foto AFP

Sebahagian perusuh mabuk turut melakukan serangan di garisan polis yang menghalang mereka daripada bergerak ke Whitehall ke arah Trafalgar Square iaitu lokasi terdapat sebahagian penyokong Black Lives Matter berhimpun.

Sekumpulan kecil penyokong berhaluan kanan turut berusaha pergi ke Trafalgar Square bagi berdepan dengan kumpulan Black Lives Matter, namun polis berjaya mematahkan keganasan itu.

Keganasan yang hampir sama juga berlaku di Hyde Park dan stesen kereta api Waterloo ketika kumpulan perusuh saling bergaduh.

Sebahagian penunjuk perasaan turut dibiarkan berdarah selepas dipukul aktivis Black Lives Matter.

Setelah kumpulan-kumpulan penunjuk perasaan berjaya dialihkan dari Trafalgar Square pada jam 5 petang, pertempuran merebak ke stesen kereta api Waterloo yang mana sebuah kumpulan aktiviti Black Lives Matter dirakamkan memukul seorang lelaki berkulit putih.

Lelaki berkulit putih itu didakwa menjadi anggota kumpulan berhaluan kanan.

Dalam pada itu, puluhan ribu orang turut berhimpun dalam protes anti perkauman di Liverpool dan Brighton yang berlangsung dengan aman walaupun pertempuran turut berlaku di Bristol serta Newcastle.

Terdapat juga beberapa kumpulan seramai 350 hingga 400 penunjuk perasaan Black Lives Matter menuju ke selatan Sungai River Thames ke stesen Waterloo bagi menangkap lelaki-lelaki yang dianggap sebagai kumpulan Liga Pembela Inggeris (EDL).

Bom-bom asap kelihatan dan botol dibaling ketika polis bergelut untuk melindungi sejumlah lelaki di tangga sebuah stesen kereta api.

Sejurus sebelum jam 5 petang, ketika perintah berkurung bermula di Trafalgar Square, seorang lelaki diserang dipercayai sebagai penyokong Tommy Robinson oleh para penyokong yang sedang marah.

Robinson ialah bekas pemimpin EDL yang berhaluan kanan dan pada minggu lalu berikrar menerusi satu video media sosial lalu bahawa dia akan melawat patung-patung bersejarah bagi memastikan monumen itu dilindungi dari sebarang tindakan vandalisme.

Pergaduhan berlaku antara aktivis Black Lives Matter dengan penunjuk perasaan antiperkauman di tengah London pada 13 Jun lalu. - Foto AFP
Pergaduhan berlaku antara aktivis Black Lives Matter dengan penunjuk perasaan antiperkauman di tengah London pada 13 Jun lalu. - Foto AFP

Sebelum ini, patung pedagang hamba abdi, Edward Colston di Bristol barat daya Briitain pada 7 Jun lalu ditumbangkan oleh para penunjuk perasaan sekali gus memberikan isyarat bahawa rakyat semakin marah terhadap isu-isu kezaliman dan layanan tidak adil pihak berkuasa terhadap sesuatu kaum.

Sementara itu, Datuk Bandar London, Sadiq Khan memuji pasukan keselamatan kerana melakukan tugas yang luar biasa bagi mengawal situasi.

"Berjuta-juta penduduk London akan merasa meluat oleh adegan-adegan yang memalukan tentang keganasan dan perkauman dan merosakkan tetapi dimainkan oleh pelampau berhaluan kanan di bandar raya kita hari ini (Sabtu lalu)," katanya.

Tunjuk perasaan Black Lives Matter itu dibuat bagi memprotes ketidakadilan kaum yang berlaku setelah seorang pegawai polis berkulit putih menggunakan lututnya ke atas pemuda kulit hitam George Floyd, 46, sehingga dia tidak mampu bernafas dan meninggal dunia di sebuah hospital di Minneapolis, Amerika Syarikat (AS).

Pegawai polis berkulit putih itu menekan lehernya dengan lutut lebih 8 minit berikutan pemuda kulit hitam tersebut dituduh menggunakan wang palsu bernilai AS$20 (RM85) untuk membeli rokok pada bulan Mei lalu. - Agensi