Dulu kuli, kini tauke

Ramai peniaga asing bermula dengan menjadi pekerja sebelum mengusahakan sendiri perniagaan melalui komplot dengan warga tempatan bagi mendapatkan lesen perniagaan.
Ramai peniaga asing bermula dengan menjadi pekerja sebelum mengusahakan sendiri perniagaan melalui komplot dengan warga tempatan bagi mendapatkan lesen perniagaan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Hanya tiga tahun diperlukan seorang warga Indonesia dikenali Wak Lan untuk bertapak dan memulakan perniagaan di kawasan Pasar Borong Selayang yang juga dipanggil Pasar Harian Selayang.

Bermula dengan hanya pekerja di pasar borong, dia kemudian menjadi penjaja jalanan sebelum menyewa sebuah kedai mengusahakan perniagaan ayam dan santan yang beroperasi lebih 20 tahun.

Hal itu didedahkan seorang peniaga tempatan yang mahu dikenali sebagai Man, 46, yang pernah bekerja di bawah Wak Lan sekitar tahun 90-an.

"Ketika itu saya susah mahu mendapatkan stok jualan, jadi saya sewakan kedai kepada orang dan kerja makan gaji sebelum Wan Lan menawarkan saya untuk bekerja dengannya.

"Saya akan ke depan setiap kali penguat kuasa datang buat pemeriksaan. Saya akan berikan alasan yang bos keluar, jumpa pelanggan, hantar barang dan lain-lain lagi bagi mengelak Wak Lan dikenakan tindakan," katanya.

Katanya, modus operandi sama masih digunakan kebanyakan warga asing untuk terus bertahan iaitu dengan berkomplot dengan orang tempatan.

"Apabila kedai disewa kepada warga asing ini, tuan kedai dan penyewa akan buat perjanjian yang aktiviti mereka akan dilindungi. Tuan kedai akan muncul setiap kali penguat kuasa datang buat pemeriksaan.

"Apabila tiada bukti yang cukup dan betul-betul kukuh, maka mereka terlepas. Itu sebab mereka boleh hidup sampai sekarang, dari bujang sampai anak dah sekolah menengah, mungkin dah dapat penduduk tetap (PR), " katanya.

Artikel Berkaitan:

Pihak berkuasa memeriksa kedai runcit dipercayai dimiliki warga asing.
Pihak berkuasa memeriksa kedai runcit dipercayai dimiliki warga asing.

Orang tempatan bersubahat

Man berkata, Wak Lan kini hidup senang, memiliki rumah sendiri malah mampu mengembangkan lagi perniagaannya.

"Hasil niaga ayam dan santan itu membolehkannya memiliki rumah teres dua tingkat yang dibeli dengan harga RM280,000 (dibeli pada tahun 2010) selain menyewa kedai dengan kadar RM3,000. Kini mungkin dinaikkan ke RM4,000 atau lebih.

"Dia juga menjalankan perniagaan tukang besi dan sewaan tapak majlis perkahwinan yang saya dimaklumkan sewanya adalah RM6,000 sebulan," katanya.

Katanya, kebanjiran peniaga warga asing ini adalah disebabkan kesilapan orang tempatan membuka peluang dan memilih jalan mudah.

"Ada antara peniaga yang dapat gerai majlis (pihak berkuasa tempatan) dan apabila sudah tidak mahu berniaga disewakan kepada pihak ketiga termasuk orang asing dengan kadar yang lebih mahal.

"Orang asing ini datang ke negara kita memang untuk cari duit jadi apabila sudah diberikan peluang mereka akan rebut, soal modal, untung banyak atau sikit jatuh nombor dua.

"Yang penting mereka mahukan tapak, kerana bagi mereka apabila sudah ada kedai mereka tak perlu lari apabila penguat kuasa datang, mereka rasa lebih selamat dan stabil, malah aktiviti mereka dilindungi oleh orang kita sendiri," katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meru, Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar berkata, sikap warga tempatan yang mengaut keuntungan mudah dengan menyewakan lesen perniagaan kepada warga asing menyebabkan isu peniaga asing sukar dibendung dan dikawal sepenuhnya.

Menurutnya, sikap warga tempatan yang melindungi warga asing juga menyebabkan kelompok terbabit berani mencabar undang-undang pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Hasil pemerhatian saya di kawasan Meru mendapati peniaga warga asing ini degil dan berani sebab ‘dibela’ oleh warga tempatan.

“Kedai disewakan kepada warga asing, stok barangan perniagaan diperoleh daripada warga tempatan sebab tu isu peniaga asing ni berterusan,” katanya kepada Sinar Harian.

Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar
Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar

Mohd Fakhrulrazi berkata, bukannya tiada tindakan penguatkuasaan diambil pihak berkuasa namun kegiatan perniagaan dilindungi warga tempatan menyukarkan tindakan diambil.

“Bila PBT serbu kedai dikendalikan warga asing, pemilik kedai warga tempatan akan datang bawa lesen beritahu mereka (warga asing) hanya pekerja. PBT pula tak ada kuasa tangkap warga asing.

“Hasil siasatan, warga tempatan sewakan premis kepada warga asing kerana mereka ini mampu bayar sewa tinggi serta komited bayar setiap bulan,” katanya.

Menurutnya, bagi melumpuhkan kegiatan perniagaan warga asing, rakyat tempatan perlu boikot daripada membeli barangan yang dijual mereka.

“Saya minta rakyat jangan beri sokongan kepada mereka, boikot dan beri maklumat kepada pihak berkuasa. Saya dapati penjaja warga asing ni sesuka hati main pacak saja gerai dan berpindah-randah sukarkan penguat kuasa kesan mereka sebab kawasan luas. Ada juga tak sampai beberapa jam operasi, mereka berani beroperasi balik dalam hari yang sama

“Mereka ini berniaga tak ikut undang-undang, mengundang masalah sampah dan mengambil peluang warga tempatan,” katanya.

Pihak berkuasa mampu selesaikan masalah peniaga warga asing

Mohd Fakhrulrazi berkata, dia yakin penguatkuasa mampu mematahkan sindiket peniaga warga asing jika melakukan pemantauan dan risikan.

"Tenaga Nasional Berhad (TNB) pernah berjaya patahkan kes curi elektrik di kawasan tersebut dengan melakukan pemantauan selama tiga bulan.

"Saya yakin pihak berkuasa tempatan juga mampu lakukan. Tumpu kedai hotspot selama sebulan mereka akan nampak yang mana tauke dan yang mana pekerja," katanya.

Katanya, usaha Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menguatkuasakan undang-undang kecil penjajaan dan perniagaan terhadap warga asing adalah langkah tepat.

"Warga asing sekarang tidak senang duduk, nak masuk Pasar Porong KL pun sekarang susah apabila hanya orang tempatan yang boleh berurusan menyebabkan peniaga Aceh sekarang susah mahu membeli barang.

"Sudah masanya kita bertegas dengan warga asing ini kerana selama ini kita terpaksa bersaing dengan mereka, kita orang tempatan meniaga ikut peraturan salah sikit kena kompaun tetapi mereka hidup senang lenang bebas berniaga," katanya.

 Pasar Borong Selayang antara lokasi utama masalah peniaga warga asing.
Pasar Borong Selayang antara lokasi utama masalah peniaga warga asing.