Penolong Penyediaan Makanan didenda RM20,000

Tertuduh mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan memalsukan dokumen (Gambar Fail Sinar Harian)
Tertuduh mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan memalsukan dokumen (Gambar Fail Sinar Harian)
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang penolong penyediaan makanan dari Hospital Kemaman dijatuhi hukuman denda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku salah atas dua pertuduhan mengemukakan dokumen palsu untuk membuat tuntutan.

Tertuduh, Mohammad Nazrie Ismail, 36, turut berdepan hukuman 20 bulan penjara sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan.

Keputusan dibuat Hakim Jamaludin Mat selepas tertuduh mengaku salah bagi pertuduhan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan kerana menggunakan dua dokumen palsu sebagai tulen.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menggunakan dua dokumen sokongan tuntutan iaitu ‘Delivery Order’ Pazlina Mat Ali yang masing-masing berjumlah RM1,828.50 dan RM1,843 sedangkan diketahui dokumen itu adalah palsu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 465 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Koperasi Perwaja Kemaman Berhad, Taman Pertama, Kemaman pada September hingga Oktober 2017.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Irwan Shah Abdul Samat dan tertuduh diwakili peguam bela, Mohd Hayyatuddin Muhamad.

Artikel Berkaitan: