X

Kindly register in order to view this article
!

Ia adalah berat, terlalu berat: Chong Wei

Facebook Datuk Lee Chong Wei
A
A

LEGENDA badminton negara, Datuk Lee Chong Wei semalam berkongsi detik beliau memutuskan untuk bersara pada tanggal 13 Jun tahun lepas, sebagai satu keputusan yang berat.

“Ia adalah berat, terlalu berat,” kata Chong Wei dalam laman Facebook dan Instagram rasmi miliknya sempena setahun persaraan sebagai pemain kebangsaan.

Mengimbau kenangan sebelum menggantung raket, Chong Wei mengakui masih memikirkan untuk menyambung perjuangannya dalam sukan badminton sebelum melakukan pengumuman untuk bersara itu.

“Selepas menghabiskan waktu lama untuk mandi, saya memandang lelaki di cermin, ‘Hendak cuba sekali lagi?’ Kemudian saya memandang ke bawah leher dan badan. Badan saya sangat lemah dan kurus. Otot saya juga lembik. Parut di leher sangat dalam dan gelap selepas menjalani semua rawatan,” luah Chong Wei.

Lee Chong Wei
Lee Chong Wei

Bagaimanapun, pemenang pingat perak Sukan Olimpik tiga kali dan bekas pemain nombor satu dunia itu berkata, isterinya Wong Mew Choo banyak memberi kekuatan ketika mengharungi detik sukar.

“Dia (Mew Choo) memandang ke dalam mata saya. Saya tidak dapat berkata-kata lagi. Dia memeluk saya, berbisik, “Kamu sudah memberikan segalanya”.

“Dalam kereta, saya dimaklumkan rakan-rakan media dari seluruh dunia akan menghadiri sidang media itu. Saya ambil skrip, cuba untuk menghafal untuk kali terakhir. Sebelah lagi tangan saya? Mencengkam kuat tangan Mew Choo,” tambahnya.

Mengingati kembali ketika sidang media, Chong Wei berkata, beliau terlupa semua skrip yang sepatutnya diucapkan dan hanya ingat beberapa perkara penting sahaja.

“Sudah pun setahun. Setahun sejak saya mengumumkan untuk menamatkan 25 tahun perjuangan saya dalam badminton. Ia tidak akan sama lagi buat saya, tapi saya rasa sudah buat keputusan yang betul,” katanya.

Pemain kelahiran Pulau Pinang itu menamatkan kerjaya sebagai pemain badminton kebangsaan dengan 69 kejuaraan, termasuk 47 gelaran Siri Super, membolehkan beliau bergelar Raja Siri Super.- Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!