PRK Semenyih: Umno pertaruh muka baharu?

Umno perlu meletakkan calon lebih segar pada PRK Dun Semenyih kali ini.
Umno perlu meletakkan calon lebih segar pada PRK Dun Semenyih kali ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tanggal 2 Mac sebagai tarikh hari pengundian bagi PRK Dun Semenyih berikutan penyandangnya, Bakhtiar Mohd Nor, 57, meninggal dunia akibat serangan jantung.

Susulan pengumuman itu, setiap parti pastinya giat membuat persiapan awal dalam mengenal pasti calon-calon yang layak untuk membawa cabaran bagi mengisi kekosongan kerusi tersebut.

Dalam PRU14 lalu, Bahtiar berjaya menewaskan tiga calon lawannya dari parti BN, Pas dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) dengan majoriti 8,964 undi serta turut mendapat undian keseluruhan sebanyak 23,428 undi.

Pada pertembungan kali ini, Umno Selangor yang diterajui Datuk Seri Ismail Sabri dilihat membuat persiapan awal apabila telah mengenal pasti enam cadangan calon yang akan disenarai pendek dalam misi untuk merampas semula kerusi tersebut.

Namun begitu, sejauh manakah Umno menitik beratkan kriteria pemilihan calon-calon berkenaan?

Bagi mengukuhkan sokongan rakyat terhadap BN, Umno dilihat perlu mengetengahkan calon-calon muka baharu pada kali ini dalam usaha untuk menarik semula sokongan rakyat terhadap mereka.

Malah, perkara ini turut disuarakan oleh kepimpinan Pemuda Umno yang bersedia untuk meletakkan calon muda dan muka baharu dalam PRK berkenaan.

Satu kumpulan penyelidik juga telah digerakkan oleh Pemuda Umno untuk mendapatkan maklum balas penduduk setempat berhubung perkara itu.

Artikel Berkaitan:

Penganalisis sosiopolitik Universiti Malaya, Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi turut mengakui bahawa Umno perlu meletakkan muka baharu pada kali ini bersesuaian dengan perkembangan serta sentimen semasa pengundi di sana.

“Mereka mungkin memerlukan muka baharu kerana rakyat di sana mahukan pemimpin yang lebih segar serta tidak mempunyai reputasi buruk.

“Apa yang penting, walaupun calon itu tidak perlu popular di peringkat nasional namun dia seharusnya dikenali di peringkat tempatan dan akar umbi bagi mewakali suara rakyat di sana,” katanya.

Menerusi pendapat tersebut, ia menunjukkan bahawa Umno tidak mempunyai pilihan lain dan perlu mengetengahkan calon lebih segar bagi memastikan persaingan sengit dalam PRK tersebut.

Bagaimana pun, laluan BN untuk merampas kerusi itu juga tidak mudah berikutan PH pastinya mempunyai perancangan dan strategi tersendiri dalam usaha untuk mempertahankan kemenangan mereka.

Selain itu, terdapat juga cadangan daripada Ketua Srikandi Bersatu, Datuk Seri Rina Harun yang mengharapkan agar kepimpinan PH dapat mempertimbangkan calon wanita untuk bertanding di kerusi berkenaan.

Difahamkan, buat masa ini, parti Bersatu masih belum menetapkan sebarang calon yang akan disenarai pendek bagi mewakili parti berkenaan.

Ketua Penerangan Bersatu Selangor, Sallehuddin Amiruddin ketika dihubungi Sinar Harian memaklumkan bahawa pimpinan di peringkat negeri akan mengadakan perbincangan mengenai perkara itu pada akhir bulan ini bagi menetapkan calon yang sesuai.

“Bagi saya, ini bukan melibatkan soal calon lelaki atau wanita namun bagaimana individu yang dicalonkan itu nanti mampu untuk membawa amanah dan tugas dengan sebaiknya khususnya dalam konteks Selangor,” katanya.

Terdahulu, Ahli Majlis Tertinggi Bersatu, Abu Bakar Yahya turut memberi gambaran bahawa parti itu akan meletakkan calon tempatan dan dikenali masyarakat setempat di kerusi berkenaan.

Walau siapa pun calon yang dipilih oleh Bersatu dan PH, mereka seharusnya bersiap sedia dengan kerjasama yang bakal terjalin antara Pas-Umno dalam PRK Dun Semenyih kali ini.