Setiap pasukan diminta patuhi SOP ditetapkan ketika turun berlatih

Saingan Liga-M ditangguhkan sejak 16 Mac lalu akibat pandemik Covid-19.
Saingan Liga-M ditangguhkan sejak 16 Mac lalu akibat pandemik Covid-19.
A
A
A

ESOK kita semua dapat menyaksikan pasukan Liga Malaysia (Liga-M) kembali menjalani sesi latihan buat pertama kali sejak aktiviti bola sepak domestik ditangguhkan pada 18 Mac lalu akibat pandemik Covid-19.

Tidak perlu disangkal lagi ketiadaan sukan bola sepak sepanjang tempoh tiga bulan memberikan impak cukup besar kepada peminat, apatah lagi penulis yang sentiasa turun padang membuat liputan sejak 20 tahun lalu.

Biarpun kerajaan belum membenarkan Liga-M bersambung yang mana perancangan itu dijangka berlaku September depan, penulis yakin para peminat sekurang-kurangnya dapat menarik nafas lega selepas pasukan Liga-M dibenarkan kembali berlatih.

Harus diingat keputusan kerajaan itu sebagai usaha memerangi penularan Covid-19 dan penulis optimis seluruh masyarakat khususnya pasukan Liga-M sendiri sentiasa memberikan sokongan dan kerjasama tinggi.

Penulis menganggap kebenaran yang diberikan kerajaan kepada pasukan Liga-M untuk turun kembali berlatih adalah satu petanda cukup positif yang mana bibit-bibit kemenangan kita ke atas Covid-19 semakin tiba.

Namun, kita harus kekal berdisiplin dan fokus bahawa peperangan menentang Covid-19 masih belum berakhir biarpun statistik pesakit Covid-19 makin menurun seperti yang dilaporkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Setiap pasukan harus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan iaitu mematuhi penjarakkan sosial sekurang-kurangnya tiga hingga lima meter untuk aktiviti dinamik seperti latihan bola sepak.

Ini kerana kita semua mahu mencegah sebarang sentuhan (close contact) berlaku yang masih lagi menjadi faktor utama penularan Covid-19.

Artikel Berkaitan:

Perhatian serius perlu diberikan kepada garis panduan yang telah dikeluarkan oleh pihak berkuasa bagi memastikan keselamatan dan kesihatan semua pemain dan pegawai dalam keadaan terpelihara.

Dalam masa sama, pihak persatuan mahupun kelab harus memastikan moral setiap pemain berada pada tahap terbaik sebagai persiapan menghadapi Liga-M nanti.

Umum mengetahui beberapa pasukan sedang berdepan masalah kewangan ketika krisis pandemik Covid-19 ketika ini dan ada di antara mereka masih gagal melunaskan baki gaji para pemain.

Kata pepatah, berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Dalam detik sukar ini majikan harus mencari formula terbaik untuk membantu para pemain meneruskan kelangsungan mereka demi menjaga survival keluarga mereka.

Ini kerana ia sudah menjadi tanggungjawab majikan dalam memastikan kebajikan barisan pemain dan pegawai pasukan terjaga dan dibela ketika menempuhi detik sukar pandemik Covid-19 ini.