Muhyiddin akan jatuh kerana enam orang: Tun M

Tangkap layar Facebook Dr Mahathir.
Tangkap layar Facebook Dr Mahathir.
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad meramalkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dipimpin Tan Sri Muhyiddin Yassin akan jatuh sekiranya enam ahli Parlimen UMNO yang sedang menjalani perbicaraan didapati bersalah oleh mahkamah.

Menerusi catatan di Facebooknya, Dr Mahathir berkata, keenam-enam ahli Parlimen itu ialah Datuk Seri Najib Tun Razak (Pekan), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (Bagan Datuk), Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor (Putrajaya), Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (Baling), Datuk Seri Ahmad Maslan (Pontian) dan Datuk Seri Bung Moktar Radin (Kinabatangan).

Beliau berkata, kedudukan kesemua pemimpin terlibat itu kini diibaratkan telur di hujung tanduk apabila mereka bakal kehilangan jawatan sebagai wakil rakyat sekali gus akan mempengaruhi sokongan terhadap Muhyiddin.

"Sekarang jumlah wakil rakyat yang menyokong Muhyiddin hanya 114, iaitu tiga sahaja lebih daripada separuh (111 wakil rakyat).

"Jika enam orang ini didapati bersalah oleh mahkamah, mereka tidak lagi jadi wakil rakyat. Dengan itu penyokong Muhyiddin tinggal 108 iaitu kurang daripada separuh. Maka kerajaan Muhyiddin pun akan jatuh," katanya hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir bagaimanapun memberi bayangan bahawa enam pemimpin terbabit tidak akan didapati bersalah dengan mendakwa keputusan itu akan ditentukan oleh Muhyiddin.

[ARTIKEL BERKAITAN] - Riza Aziz dilepas tanpa dibebaskan

"Kita sudah lihat bagaimana Riza Aziz dilepas dan (Tan Sri) Musa Aman juga sudah dilepas.

"Sudah tentu enam orang ini juga akan didapati tidak bersalah. Maka selamatlah Muhyiddin. Dunia akan ketawa melihat kerajaan pintu belakang ini putar undang-undang.

[ARTIKEL BERKAITAN] - Musa Aman lepas dan bebas

"Yang salah tidak salah. Yang benar salah. Yang menang kalah. Yang kalah menang. Syabas. Norma baru sudah dicipta," katanya dalam catatan yang juga boleh dibaca di blognya, chedet.cc.

Artikel Berkaitan: