TNB perlu jelaskan teknik pengiraan bil elektrik

Ahmad Amzad
Ahmad Amzad
A
A
A

SHAH ALAM - Tenaga Nasional Berhad (TNB) digesa memberi penjelasan yang lebih mudah bagi membantu rakyat memahami teknik pengiraan bil elektrik yang melambung sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Ahmad Amzad Hashim berkata, beliau mengikuti isu rungutan bil elektrik melambung sepanjang tempoh itu dan memahami rungutan rakyat khususnya dari kawasan Parlimennya di Kuala Terengganu.

Menurutnya, rakyat menerima bil yang luar biasa lebih tinggi daripada kebiasaan dan apabila jumlah bil untuk tiga bulan sepanjang PKP dibahagi kepada tiga bulan bagi mendapatkan purata sebulan, purata sebulan itu sangat ketara tingginya berbanding bil bulanan yang biasa.

Katanya, disebabkan itu ia menyebabkan kekeliruan di kalangan rakyat terutama dalam memahami teknik pengiraan bil elektrik tersebut.

"Sebab itu rakyat perlukan penjelasan sama ada kemungkinan berlaku kesilapan teknikal oleh pihak TNB dalam melakukan pengiraan.

"Mungkin juga hanya sebahagian pengguna terlibat dan saya dimaklumkan mekanisme pengebilan ini juga telah disemak dan dipersetujui oleh Suruhanjaya Tenaga (Energy Commission of Malaysia)," katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.

Katanya, beliau juga maklum bahawa kerajaan sudah mengeluarkan beberapa solusi untuk meringankan beban rakyat antaranya TNB tidak mengenakan caj berlebihan kepada para pengguna, pelan bayaran mudah ansuran sehingga 31 Disember 2020 serta diskaun pakej Rangsangan Ekonomi untuk tempoh penggunaan mulai 1 April hingga 30 September 2020.

Sebelum ini, kadar penggunaan elektrik dalam sektor kediaman dilaporkan meningkat kira-kira 23 peratus sepanjang tempoh PKP berbanding penurunan 33 peratus penggunaan elektrik secara keseluruhannya di Semenanjung.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah mengesahkan tiada sebarang kesilapan berlaku dalam pengiraan bil oleh TNB yang didakwa melambung tinggi sepanjang tempoh tersebut dan memberitahu perkara itu kemungkinan berlaku disebabkan salah faham segelintir pengguna yang keliru dengan kaedah pengiraan dilakukan syarikat utiliti terbabit.

Dalam pada itu, Ahmad Amzad yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu turut menyarankan TNB untuk membuat semakan semula bil yang dibuat aduan bagi meredakan keresahan rakyat.

Katanya, sekiranya ada kelemahan pada kaedah pengiraan sehingga berlaku tambahan bebanan kepada pengguna yang bukan akibat penggunaan elektrik yang luar biasa tetapi oleh kaedah pengiraan yang mengikut blok tarif ditentukan yang bertambah luar biasa kerana ia dijumlahkan untuk tiga bulan, hal itu perlu diselesaikan.

"Mesti dicari jalan untuk menjadikan hasil kiraannya normal dan tidak luar biasa bebanannya kepada rakyat.

"Selain itu, orang ramai yang merasakan bil elektrik mereka kurang munasabah dengan penggunaan diminta membuat aduan dan mendapatkan penjelasan daripada pihak TNB melalui talian khidmat pelanggan atau terus ke kaunter TNB,"katanya.