Pelajar maut motosikal bertembung lori tayar pecah

Keadaan lori yang terbalik akibat salah satu tayar kenderaan berat itu pecah (Foto: Ihsan pembaca)
Keadaan lori yang terbalik akibat salah satu tayar kenderaan berat itu pecah (Foto: Ihsan pembaca)
A
A
A

SETIU - Seorang pelajar maut manakala rakannya parah selepas motosikal dinaiki mereka terbabit nahas tiga kenderaan di Kilometer (KM) 65, Jalan Kota Bharu- Kuala Terengganu, di sini malam tadi.

Dalam kemalangan kira-kira jam 8.30 malam itu, Muhammad Daniel Mikhail Johan, 14, yang menunggang motosikal jenis Yamaha 135LC disahkan meninggal dunia di Hospital Setiu akibat parah di kepala.

Rakannya yang membonceng motosikal kini berada dalam keadaan kritikal dan dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu.

Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Afandi Hussin berkata, kejadian berlaku apabila sebuah lori jenis Daihatsu datang dari arah Kota Bharu menghala ke Kuala Terengganu hilang kawalan selepas salah satu tayar kenderaan berat itu pecah.

"Akibatnya, lori dipandu lelaki berusia 50 tahun itu masuk ke laluan bertentangan dan berlanggar dengan motosikal dinaiki kedua-dua mangsa serta sebuah lagi kereta jenis Proton Iswara," katanya ketika dihubungi hari ini.

Afandi berkata, ekoran kejadian, pemandu bersama kelindan lori serta pemandu dan penumpang kereta berkenaan hanya mengalami kecederaan ringan dan menerima rawatan di Hospital Setiu.

Kes berkenaan kini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel Berkaitan: