X

Kindly register in order to view this article
!

Dua kejuaraan hoki diteruskan tahun ini

Dr Anil Jeet Singh
Dr Anil Jeet Singh
A
A

KONFEDERASI Hoki Malaysia (KHM) merancang untuk meneruskan penganjuran dua kejohanan pada Ogos dan September ini walaupun negara masih berdepan dengan penularan wabak koronavirus (Covid-19).

Dua kejohanan itu adalah Piala Tun Abdul Razak yang dijadual berlangsung dari 21 hingga 29 Ogos dan saingan Liga Hoki Remaja Kebangsaan pada penghujung September, namun tarikh sebenar belum ditetapkan.

Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan KHM, Datuk Seri Dr Anil Jeet Singh berkata, beliau optimis dua kejohanan berkenaan masih boleh diteruskan selepas mengambil kira keadaan semasa, yang menyaksikan penurunan kes jangkitan Covid-19 di negara ini.

“Saya masih tidak akan membatalkan perancangan tersebut kerana kita masih memiliki dua bulan sebelum kejohanan. Sekiranya jangkitan wabak Covid-19 terus berkurangan, siapa tahu mungkin kami akan mendapat kebenaran untuk menjalankan sebarang kejohanan.

“Saya memberikan tempoh sebulan sebelum tarikh kejohanan bermula untuk kami menentukan sama ada kejohanan akan diteruskan atau sebaliknya,” katanya menerusi laman sesawang KHM; www.mhc.org.my.

Mengulas lanjut, beliau memaklumkan akan menyediakan kertas kerja khusus untuk kedua-dua kejohanan tersebut, untuk dibentangkan dalam Mesyuarat Ahli Lembaga Eksekutif KHM yang akan berlangsung Sabtu ini.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican pada sidang media baru-baru ini memaklumkan, kerajaan membenarkan latihan hoki diadakan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), namun perlu mengikuti prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara.

Beliau bagaimanapun berkata, sebarang penganjuran kejohanan hoki masih tidak dibenarkan sepanjang tempoh PKPP kerana ia melibatkan sukan bersentuhan badan.

Kerajaan menguatkuasakan PKPP bagi menggantikan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula hari ini sehingga 31 Ogos depan. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!