Boleh berniaga tepi jalan tapi...

Kerajaan Terengganu tiada halangan untuk membenarkan peniaga kecil-kecilan berniaga di tepi jalan asalkan mempunyai lesen dan berniaga di tempat yang dibenarkan. - Foto 123RF
Kerajaan Terengganu tiada halangan untuk membenarkan peniaga kecil-kecilan berniaga di tepi jalan asalkan mempunyai lesen dan berniaga di tempat yang dibenarkan. - Foto 123RF
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kerajaan Terengganu tiada halangan untuk membenarkan peniaga kecil-kecilan berniaga di tepi jalan asalkan mempunyai lesen dan berniaga di tempat yang dibenarkan.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Terengganu, Dr Alias Razak berkata, pihaknya sedia maklum pertambahan gerai-gerai di tepi jalan sejak kebelakangan ini.

"Kita akui semenjak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), mereka yang sebelum ini berniaga tidak dapat berniaga. Ada yang sebelum ini ada kerja tapi dibuang kerja, masing-masing cari peluang ekonomi dan paling mudah ialah buka gerai di tepi jalan.

"Pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak halang berniaga tapi kena ada lesen, kena berdaftar dengan PBT dan tempat berniaga juga mesti yang diluluskan.

"Kalau berniaga di rizab jalan besar, yang boleh menjadi halangan dan risiko kemalangan, itu kita tidak benarkan," katanya pada sidang media di Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Jelas Dr Alias, kerajaan tidak mahu menghalang rakyat mencari rezeki yang halal, namun peniaga mesti mengikut peraturan demi keselamatan semua.

Oleh itu katanya, PBT akan terus membuat pemantauan dari masa ke masa dan akan membantu mempermudahkan urusan lesen.

"Kalau patut beri lesen, kita akan beri dan jika tempat itu tidak dibenarkan kerana bahaya, kita akan minta pindah ke tempat yang lebih selamat.

Artikel Berkaitan:

"Sebab itu lesen dan syarat berniaga perlu dipatuhi, selain membuat suntikan typhoid dan menjaga kebersihan pengendalian makanan dan tempat berniaga itu sendiri," katanya.

Beliau berkata, peniaga perlu mematuhi peraturan bagi mengelakkan peristiwa malang sebelum ini iaitu keracunan makanan sehingga menyebabkan kematian berlaku lagi.

"Saya minta maaf kalau ada PBT bertindak dengan menyaman, sebab ada kalanya tidak dapat dielakkan kerana ada yang degil dan tidak mahu mematuhi arahan kita," katanya.