Anwar tokoh simbolik untuk warga Kerinchi

Fahmi Fadzil
Fahmi Fadzil
A
A
A

SHAH ALAM - Pemilihan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyempurnakan pengisytiharan nama Kampung Kerinchi di Kuala Lumpur semalam tidak patut dipertikaikan mana-mana pihak.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil berkata, Anwar dipilih kerana beliau merupakan tokoh simbolik warga Kampung Kerinchi, selepas Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad tidak dapat hadir kerana berada di Cameron Highlands.

Katanya, beliau mengatur semua program tersebut termasuk individu yang merasmikan majlis dan mereka yang berada di pentas antaranya bekas Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar yang kini Ahli Parlimen Permatang Pauh.

"Malah ada wakil sekali dari pejabat menteri, pejabat Datuk Bandar Kuala Lumpur, institusi sekitar Kampung Kerinchi seperti Universiti Malaysia (UM) dan Telekom Malaysia, pemaju-pemaju yang mengusahakan Bangsar South dan projek berdekatan.

"Namun, saya melihat Datuk Seri Anwar sebagai tokoh yang simbolik untuk warga Kerinchi (untuk menyempurnakan pengisytiharan)," katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung pertikaian terhadap Anwar menyempurnakan pengisytiharan nama Kampung Kerinchi kerana beliau tiada jawatan dalam kerajaan.

Fahmi berkata, Anwar dikenali penduduk di situ dan Kampung Kerinchi begitu dekat dengannya sejak 1960-an apabila beliau menjadi mahasiswa di UM.

"Malah saya dimaklumkan warga Kampung Kerinchi, betapa sayangnya mereka dengan Anwar.

Artikel Berkaitan:

"Sewaktu beliau meletakkan batu asas bagi Flat Taman Bukit Angkasa sekitar 1990-an, selepas beliau meletakkan batu asas itu, ia telah dilarikan warga Kampung Kerinchi kerana nak simpan sebagai 'memorabilia'," katanya.

Beliau mendakwa, isu itu sengaja dibangkitkan pihak tertentu yang sengaja ingin mencari silap, sedangkan penduduk di kampung berkenaan tiada masalah dengan siapa yang menyempurnakan pengisytiharan tersebut.

"Kepada kelompok ini, cuba siasat siapa sebenarnya sewaktu pentadbiran Umno-BN yang membenarkan nama Kerinchi itu hilang?

"Cuba siasat siapa yang menjadi Menteri Wilayah Persekutuan ketika itu dan ketua bahagian kalau betul-betul nak cari 'sebab'. Apa yang kami usahakan adalah untuk memartabatkan semula maruah yang telah dihilangkan puak-puak itu dulu," katanya.

Dalam pada itu, Fahmi berkata, pihaknya akan mengadakan beberapa program perasmian antaranya meletakkan batu tanda menandakan kemasukan ke Kampung Kerinchi nanti.

"Semestinya kita akan jemput tokoh-tokoh berkelapangan dan yang bersesuaian," katanya.