Utamakan keselamatan, kesihatan pekerja Malaysia di Singapura

Hasni Mohammad
Hasni Mohammad
A
A
A

JOHOR BAHRU - Aspek keselamatan dan kesihatan rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura wajib diberi keutamaan susulan keputusan kerajaan Persekutuan membenarkan semula rakyat negara ini berulang-alik ke republik itu.

Menteri Besar Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad berkata, langkah itu penting sebagai pencegahan untuk tidak mencetuskan kluster baharu jangkitan selepas negara ini hampir pulih daripada koronavirus (Covid-19).

"Saya percaya keputusan ini dibuat demi kepentingan ekonomi kedua-dua negara serta kelangsungan hidup rakyat Malaysia yang bekerja di negara berkenaan. Sememangnya Malaysia dan Singapura saling memerlukan antara satu sama lain, apatah lagi sebagai negara berjiran.

"Justeru, kerjasama semua pihak iaitu antara kerajaan, majikan dan pekerja amat dituntut. Semua prosedur operasi standard (SOP) yang bakal dibincang dan diputuskan oleh kerajaan kedua-dua negara nanti wajib dipatuhi," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Semalam, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan untuk membenarkan rakyat Malaysia berulang-alik ke Singapura bagi urusan pekerjaan setelah dihentikan untuk sementara sebelum ini.

Hasni berkata, keputusan itu amat melegakan khususnya rakyat Johor yang selama ini mencari rezeki di republik berkenaan dan boleh dianggap sinar di hujung terowong selepas melalui kehidupan penuh cabaran hampir tiga bulan ekoran penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Beliau memberitahu, setiap hari antara 200,000 hingga 250,000 rakyat Malaysia berulang-alik sama ada menerusi Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ), Bangunan Sultan Iskandar di sini dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) di Gelang Patah untuk pergi bekerja di Singapura.

Mereka katanya, bekerja dalam pelbagai sektor antaranya perkilangan, perhotelan dan perkhidmatan, keputusan kerajaan Malaysia menguatkuasakan PKP mulai 18 Mac lalu dan Singapura melaksanakan Pemutus Litar bermula 7 April lalu mengakibatkan sebahagian besar kehilangan sumber pendapatan.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, kerajaan negeri akan sentiasa membantu dan memberikan kerjasama kepada kerajaan Persekutuan dan kerajaan Singapura bagi memudahkan semua urusan yang diperlukan supaya proses tersebut berjalan lancar.

Diharapkan kelonggaran itu ujarnya akan dapat membantu memacu dan melonjakkan kembali sektor ekonomi kedua-dua buah negara.

Katanya, Johor telah menerima pelaburan RM19.423 bilion dalam sektor perkilangan dari Singapura sejak 1999 dan pada 2015 menerima pelaburan RM716.75 juta manakala pada 2016 sebanyak RM509.50 juta.

"Jumlah pelaburan itu meningkat menjadi RM717.60 juta pada 2017 dan terus bertambah pada 2018, iaitu sebanyak RM864.69 juta. Pada 2019, nilai pelaburan dari Singapura melonjak sebanyak 51.47 peratus iaitu RM1.68 bilion," ujarnya.

Trend pelaburan dari Singapura katanya, menunjukkan signifikasi yang positif dan merupakan antara negara penyumbang pelaburan terbanyak di Johor.

"Antara faktor yang menarik pelaburan dari Singapura adalah lokasi republik tersebut yang berhampiran Johor serta keadaan geo-politik dan persekitaran perniagaan yang hampir sama antara Malaysia dan Singapura," jelasnya.