Plus jangka trafik harian meningkat 15 peratus bermula esok

Jumlah trafik akan melonjak sehingga 1.84 juta kenderaan setiap hari bermula hari pertama pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) esok.
Jumlah trafik akan melonjak sehingga 1.84 juta kenderaan setiap hari bermula hari pertama pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) esok.
A
A
A

SHAH ALAM - PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menjangkakan jumlah trafik akan melonjak sehingga 1.84 juta kenderaan setiap hari bermula hari pertama pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) esok.

Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail berkata, jumlah tersebut membabitkan peningkatan 10 hingga 15 peratus berbanding kadar biasa sebelum ini sebanyak 1.6 juta kenderaan sehari yang meningkat kepada dua juta pada musim perayaan.

Menurutnya, apabila PKP fasa satu dilaksanakan pada 18 Mac lalu, kadar trafik PLUS mencatat penurunan yang drastik.

"Namun begitu ia meningkat secara stabil bermula 4 Mei berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan terus meningkat pada minggu terakhir Ramadan kepada lebih satu juta kenderaan sehari.

"Jumlah tersebut walau bagaimanapun berkurangan apabila lebih 95 peratus memilih untuk tidak melakukan perjalanan ketika sambutan Aidilfitri.

"Dengan kenaikan yang stabil sejak 1 Jun lalu, PLUS menjangkakan jumlah trafik akan melonjak di antara 10 hingga 15 peratus setiap hari bermula pada minggu pertama PKPP pada 12, 13 dan 14 Jun ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Azman berkata, PLUS optimis pelaksanaan PKPP yang melibatkan lebih banyak sektor komersil akan memberi sumbangan yang positif kepada ekonomi negara.

Menurutnya, PKPP yang membawa kepada kebenaran untuk perjalanan rentas negeri bakal menyaksikan lebih banyak kenderaan menggunakan lebuh raya PLUS.

Artikel Berkaitan:

"Kami sudah bersedia menghadapi pertambahan tersebut dan yakin rakyat Malaysia akan terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Kementerian Kesihatan," katanya.

Kata beliau, sebelum ini di antara PKP dan PKPB menyaksikan sedikit kelonggaran diberikan kepada premis makanan untuk beroperasi bagi memenuhi keperluan pemandu kenderaan komersil.

Di bawah PKPP menurutnya, kebanyakan gerai makanan termasuk tempat makan akan beroperasi mulai 15 Jun.

"Pelanggan berpeluang untuk menjamu selera di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) dengan mematuhi SOP yang ditetapkan.

"Semua perkhidmatan food truck (kendera saji) akan turut beroperasi di R&R dan hentian sebelah terpilih mulai tarikh tersebut.

"Walau bagaimanapun, kemudahan bersolat di surau masih lagi tidak dibuka sehingga satu tarikh yang akan diumumkan," katanya.

Menurut beliau lagi, tandas awam dibuka seperti biasa dan stesen minyak juga akan beroperasi.

Selain itu katanya, SOP yang diperkenalkan sejak pelaksanaan PKP menyaksikan kawasan R&R, hentian sebelah dan plaza tol sentiasa dibersihkan serta diselenggara untuk mengurangkan risiko jangkitan.

"Bagi mengikuti perkembangan terkini di lebuh raya PLUS, pelanggan disaran supaya memuat turun Aplikasi PLUS atau melayari laman web PLUS di www.plus.com.my atau menghubungi talian PLUSLine 1800 88 0000.

"Mereka juga boleh berinteraksi dengan Chatbot pertama industri lebuhraya, PUTRI (PLUS Unique Texting Realtime Interface) untuk mendapatkan maklumat trafik terkini, promosi dan panduan perjalanan," katanya.

Apabila berlaku kecemasan, beliau berkata, pasukan rondaan lebuh raya PLUSRonda dan pusat Kawalan Trafik (TMC) bersedia untuk memberikan bantuan 24 jam dan mereka boleh dihubungi menerusi PLUSLine.