Dua termasuk warga emas kantoi berjudi

Mesin simulator yang disyaki berunsur perjudian turut dirampas.
Mesin simulator yang disyaki berunsur perjudian turut dirampas.
A
A
A

KLANG - Polis menahan dua lelaki termasuk seorang warga emas disyaki menjalankan aktiviti berunsur perjudian dalam serbuan di sebuah pusat hiburan keluarga di Jalan Goh Hock Huat, semalam.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd Salleh berkata, penahanan itu membabitkan seorang lelaki warga Indonesia yang bekerja sebagai penjaga premis dan lelaki berusia 66 tahun yang sedang bermain di sebuah mesin simulator.

Beliau berkata, sepasukan anggota dan pegawai dari Balai Polis Bandar Baru Klang turut merampas empat mesin simulator besar yang dipercayai berunsur perjudian dalam serbuan pada jam 2.15 petang itu.

"Lelaki warga emas itu turut dikenakan tindakan kompaun di bawah peraturan 3 halangan/ kawalan pergerakan dalam kawasan tempatan jangkitan 2020," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Nurulhuda berkata, hasil pemeriksaan lanjut mendapati lesen perniagaan premis tersebut telah tamat tempoh pada 31 Disember lalu.

"Penjaga premis juga tidak mempunyai permit kerja yang sah dan pas lawatan sosial telah tamat tempoh," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Artikel Berkaitan: