X

Kindly register in order to view this article
!

Bebas tuduhan, Musa syukur dapat keadilan

Bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman.
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman bersyukur kerana akhirnya diberikan keadilan untuk membersihkan segala tuduhan terhadap beliau.

Menurutnya, permohonan membatalkan pendakwaan difailkan awal tahun ini telah dibuat dengan cukup teliti serta disokong keterangan dan dokumen bukti yang jelas tidak dapat dipertikaikan.

"Terima kasih kepada barisan peguam saya bersama pembantu mereka yang telah memberi perkhidmatan cukup baik dan berdedikasi sepanjang tempoh ini. Saya juga ingin mengucapkan penghargaan kepada badan pendakwaan dan badan kehakiman negara terutamanya mereka yang telah bertindak secara objektif, profesional, berkecuali dan tanpa prejudis di dalam menilai fakta kes ini sejak dua tahun lalu.

"Apa yang telah berlaku kepada saya dan keluarga, biarpun dilihat terjadi kerana perbezaan politik, saya anggap sebagai ujian dan dugaan Tuhan buat kami sekeluarga," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Hari ini, Mahkamah Tinggi melepas dan membebaskan Musa daripada semua 46 tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram berhubung kontrak konsesi balak di Sabah.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Azhar Abdul Hamid memberitahu mahkamah, pihak pendakwaan menarik balik semua pertuduhan dalam kedua-dua kes (rasuah dan pengubahan wang haram) yang dihadapi Musa.

Peguam Francis Ng Aik Guan, yang mewakili Musa berkata, kes itu perlu ada pengakhiran dan oleh itu pihaknya memohon kepada mahkamah memberi keputusan yang wajar iaitu dengan melepas dan membebaskan anak guamnya kerana dibimbangi tertuduh akan didakwa semula.

Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin kemudiannya melepaskan dan membebaskan tertuduh daripada semua tuduhan itu.

“Tertuduh dilepas dan dibebaskan. Wang jaminan dipulangkan semula kepada penjamin dan tarikh perbicaraan yang ditetapkan sebelum ini dilapangkan,” kata hakim itu.

Hakim juga membenarkan permohonan Aik Guan untuk menarik balik dua permohonan untuk membatalkan pertuduhan dan merujuk isu Perlembagaan ke Mahkamah Persekutuan berhubung peruntukan Seksyen 82 (2) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram yang dihadapi anak guamnya.

Terdahulu, Aik Guan berkata, pihaknya menarik balik dua permohonan itu kerana mahkamah telah membebaskan anak guamnya.

“Pihak kami juga merakamkan terima kasih kepada pihak pendakwaan atas keputusan ini,” katanya.

Mahkamah sebelum ini menetapkan perbicaraan kes itu pada bulan September, Oktober dan November bermula 14 September depan.

Musa, 69, menghadapi 30 pertuduhan rasuah dan 16 pertuduhan pengubahan wang haram dan diikat jamin RM2 juta dengan dua penjamin bagi kedua-dua kes itu.

Pada 5 November 2018, Musa didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan rasuah dan pada 5 Mac 2019, beliau dituduh atas pertuduhan wang haram dan kedua-dua kes itu kemudiannya dipindahkan ke Mahkamah Tinggi untuk dibicarakan.

Aik Guan ketika ditemui pemberita selepas prosiding itu berkata, pihak pembelaan menerima baik keputusan itu kerana ia adalah adil dan tepat.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!