Peniaga pasar malam lega

Peniaga pasar lambak di Pontian bersedia dengan SOP baharu yang ditetapkan.
Peniaga pasar lambak di Pontian bersedia dengan SOP baharu yang ditetapkan.
A
A
A

PONTIAN- Peniaga pasar malam atau pasar lambak bersedia mengikuti prosedur operasi standard ( SOP) ditetapkan kerajaan bagi membolehkan mereka berniaga semula sejak Perintah Kawalan Pergerakan ( PKP) dikuatkuasakan pada 18 Mac lalu.

Pengerusi Persatuan Pasar Lambak, Sidek Tamsir berkata, terdapat kira-kira 80 peniaga di Pasar Lambak Pontian yang beroperasi pada hari Isnin dan Jumaat tidak sabar membuka gerai selepas hampir tiga bulan tidak berniaga.

Katanya, persatuan telah mengadakan perbincangan selepas pengumuman dibuat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam mengenai kebenaran operasi pasar malam dan pasar pagi di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan ( PKPP) bermula 10 Jun ini.

"Kami juga maklum mengenai SOP yang ditetapkan sebagaimana dilaksanakan di pasar raya dan premis- premis bertujuan mengekang penularan koronavirus (Covid- 19)," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Tambah Sidek, kebanyakan peniaga bersedia mematuhi normal baharu terutama dari segi jumlah pelanggan yang dihadkan bagi memastikan keadaan tidak sesak.

"Tiada masalah kerana kami mempunyai persatuan yang mana tindakan akan dilakukan bersama jadi memudahkan peniaga. Pengambilan suhu, buku daftar dan hand sanitizer akan diletakkan di laluan masuk ke pasar lambak. Cuma ada satu laluan masuk dan keluar dan bukannya seperti dahulu pengunjung bebas keluar masuk.

"Selain itu golongan berisiko seperti kanak- kanak, warga emas berusia 65 tahun ke atas akan dipertimbangkan untuk tidak dibenarkan masuk ke pasar lambak," katanya.

Tambahnya lagi, anggota Rela turut membantu bagi memastikan kelancaran operasi pasar lambak sebagaimana yang ditetapkan.

Artikel Berkaitan:

"Persatuan peniaga pasar lambak akan edarkan risalah mengenai pematuhan yang ditetapkan kepada orang ramai di daerah ini sebaik sahaja pihak berkuasa tempatan di sini membenarkan kami berniaga," katanya.

Terdahulu kerajaan negeri Johor mengumumkan akan membuka semula pasar pagi dan pasar malam mengikut kawalan dengan garis panduan dan SOP yang ditetapkan kerajaan persekutuan bermula 15 Jun ini.

Menerusi kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Ayub Jamil semalam pelan tindakan pembukaan semula pasar pagi dan pasar malam di seluruh negeri akan diputuskan dalam satu mesyuarat bersama 16 pihak berkuasa tempatan (PBT) esok.