E-Purse mudahkan asnaf ambil bantuan bulanan

Sistem e-Purse digunakan oleh Muip untuk kemudahan asnaf mengambil barangan keperluan yang diperuntukkan di semua PDM di negeri ini.
Sistem e-Purse digunakan oleh Muip untuk kemudahan asnaf mengambil barangan keperluan yang diperuntukkan di semua PDM di negeri ini.
A
A
A

KUANTAN - Bantuan baucer bulanan kepada golongan asnaf kini lebih mudah menerusi penggunaan sistem e-Purse yang diperkenalkan baru-baru ini.

Penolong Pegawai Zakat Unit Fakir Miskin Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip), Mohd Nasrul Hakim Mat Daud berkata, penggunaan sistem berkenaan bertujuan menggantikan kupon bantuan barangan sebanyak RM200 sebulan sebelum ini.

Melalui kaedah tersebut katanya, penerima bantuan hanya perlu membawa MyKad setiap kali mengambil barangan yang diperuntukkan di Pasaraya Darul Makmur (PDM) yang ada di setiap daerah di negeri ini.

"Jadi kakitangan PDM di bahagian kaunter bayaran akan membuat semakan dan rekod penerimaan.

"Bagi asnaf yang tidak dapat datang ke PDM atau mengalami masalah kesihatan, mereka boleh wakilkan ahli keluarga dengan syarat membawa MyKad penerima," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Beliau berkata, pihaknya membenarkan asnaf mengambil semua jenis barangan keperluan harian kecuali kosmetik, makanan haiwan dan peralatan elektrik.

Sekiranya terdapat lebihan katanya, mereka boleh mengambil barangan seperti minuman, makanan segera dan barangan basah.

Dalam pada itu, Mohd Nasrul Hakim berkata, penggunaan sistem e-Purse memberi lebih keselesaan kepada asnaf dan masalah kehilangan kupon yang dilaksanakan sebelum ini tidak akan berlaku lagi.

Artikel Berkaitan:

"Muip menyediakan bantuan baucer barangan kepada 3,150 asnaf membabitkan peruntukan sebanyak RM20.67 juta sejak 2016.

"Susulan itu, pihak kita sentiasa berusaha membantu golongan asnaf di negeri ini, pelbagai bentuk bantuan serta kemudahan disediakan kepada mereka yang layak secara berterusan," katanya.

Selain itu, beliau menjelaskan, golongan asnaf yang berhadapan masalah kewangan boleh membuat permohonan di pejabat Muip untuk disemak sebelum diluluskan.