Kaut RM60.48 juta hasil seludup Pati

Antara ahli sindiket dan PATI warga Indonesia yang ditahan dalam beberapa siri serbuan di Bandar Penawar, Kota Tinggi, Johor.
Antara ahli sindiket dan PATI warga Indonesia yang ditahan dalam beberapa siri serbuan di Bandar Penawar, Kota Tinggi, Johor.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Melakukan tapisan ketat sebelum dibenarkan menyertai sindiket penyeludupan manusia ke seluruh negeri ini dengan bayaran antara RM1,200 hingga RM1,400 untuk seorang pendatang asing tanpa izin (PATI).

Selepas diterima ketua sindiket akan direkrut untuk dijadikan satu daripada enam penggiat utama sindiket itu sama ada menjadi ejen yang mengurus keluar masuk Pati, menguruskan pengangkutan, berperanan sebagai tekong darat atau tekong laut dan penjaga rumah penampungan.

Sindiket itu yang didalangi seorang lelaki di Batam, Indonesia, sudah beroperasi sejak 2014 dan sehingga kini sudah membawa masuk dan keluar kira-kira 43,200 migran dengan memperoleh RM60.48 juta hasil daripada kegiatan tersebut.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, hasil usaha Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Kontinjen Polis (IPK) Johor, Bahagian Pencegahan Antipemerdagangan Manusia dan Penyeludupan Migran (D3) serta Bahagian Siasatan Jenayah Terancang (D14) Bukit Aman berjaya melumpuhkan kegiatan tersebut.

"Menerusi serbuan dari 4 Jun hingga semalam kita berjaya menangkap 40 ahli sindiket penyeludupan manusia tersebut yang menjalankan kegiatan itu di seluruh negeri terutama di pantai timur Johor. Pati akan dibawa dari Batam atau Bintan ke Punggai di Indonesia ke Ulu Tiram (Johor Bahru); Sungai Rengit (Batu Pahat) atau Bandar Penawar, Tanjung Sedili dan Felda Tenggaroh (Kota Tinggi) dalam masa 45 minit.

"Mereka yang ditahan itu terdiri daripada 21 warga tempatan termasuk seorang wanita berstatus pemastautin tetap dan 19 warga Indonesia berusia 22 hingga 58 tahun.

"Pecahan peranan suspek yang ditangkap adalah melibatkan tiga agen, 10 orang yang menguruskan pengangkutan, 15 tekong darat dan 12 penjaga rumah penampungan," katanya dalam sidang akhbar di IPK Johor di sini hari ini.

Artikel Berkaitan:

Ayob Khan (tengah) menunjukkan gambar 40 ahli sindiket penyeludupan manusia yang ditahan dalam serbuan berasingan, pada sidang akhbar di IPK Johor, Johor Bahru, hari ini.
Ayob Khan (tengah) menunjukkan gambar 40 ahli sindiket penyeludupan manusia yang ditahan dalam serbuan berasingan, pada sidang akhbar di IPK Johor, Johor Bahru, hari ini.

Katanya, turut dirampas dalam operasi selama empat hari itu 16 buah kenderaan, satu van, lapan bot fiber dan 114 buah telefon bimbit pelbagai jenis.

Menurutnya, sindiket itu yang sudah beroperasi sejak kira-kira tujuh tahun lalu dianggarkan membawa masuk 500 hingga 600 Pati negara berkenaan pada setiap bulan.

Beliau berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan polis di Indonesia untuk mengesan lelaki di Batam itu yang menjadi dalang utama sindiket tersebut sekali gus menghapuskan terus kegiatan jenayah rentas sempadan berkenaan.

Tambahnya, dengan tertangkapnya ahli-ahli sindiket tersebut polis Johor berjaya menumpaskan 95 peratus aktiviti penyeludupan migran di pantai timur dan fokus selepas ini adalah di kawasan pantai barat Johor.

Kes disiasat di bawah Seksyen 130V Bab 6B (Jenayah Terancang) Kanun Keseksaan dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma).